Khamis, 11 Disember 2014

Bersyukurlah Saat Susah dan Senang





"Keranaku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sis-Mu
Sering kali terlupa nikmat-Mu
Datang tiada jemu
Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut nama-Mu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur.."

                                            (petikan lagu Erti Syukur, UNIC)


Berapa kali kita semua melihat diri sendiri di cermin dalam sehari? Tentunya lebih daripada sekali. Apa yang kita perhatikan ketika berada di hadapan cermin selain ingin melihat kekemasan diri? Pernah tak kita menangis atau memuji Allah di hadapan cermin kerana bersyukur dengan segala anggota tubuh hanya yang Allah berikan? Kalau ada pun mungkin hanya sedikit yang bersyukur seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amat sedikir kamu bersyukur. 
[Surah al-Sajadah: 9]


Allah SWT Maha Kaya dalam setiap pemberian kepada hamba-hambaNya. Allah SWT tidak berhajat,
tetapi kita yang benar-benar berhajar pada pertolongan Allah. Jika hendak disebut satu persatu
nikmat yang dipinjamkan kepada kita, pasti tidak terkira kerana terlalu banyak. 
Sebahagian daripada nikmat itu bersifat tersembunyi kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar
manusia seperti nikmat kelapangan masa, nikmat berfikir, nikmat ingatan atau kepandaian,
ketenangan jiwa dan pelbagai lagi. Tetapi sayangnya, manusia tidak perasan dan sering 
kali terlupa.

Mari kita renungi perkaitan yang cukup mudah. Apabila kita dibantu oleh orang lain, kita mengungkapkan dua patah kata iaitu terima kasih. Berterima kasih kepada orang yang menolong kita sebenarnya sama seperti bersyukur kepada Allah kerana Allah jualah yang membuka hati orang itu untuk menolong kita. Jika kita sukar mengucapkan terima kasih, hakikatnya kita tidak bersyukur dengan Allah SWT.

Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah SWT, kerana sudah memberi peringatan kepada kita 
menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras..'
[Surah Ibrahim:7]


Bayangkan kaki yang boleh berjalan tetiba patah kerana mengalami kecederaan, mata yang boleh melihat
tiba-tiba jadi buta, mulut yang boleh bercakap tiba-tiba menjadi bisu, badan yang selama ini sihat untuk bergerak tiba-tiba terlantar sakit. Apabila tiba masa Allah Taala ingin mengambil semula nikmat tersebut, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya. Allah SWT berhak memberi nikmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Begitu juga berhak menarik kembali nikmat-Nya pada sesiapa dan bila-bila masa yang dikehendaki.

Kerana itulah kita harus bersyukur dalam hati dan menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah dengan mengucapkan ALHAMDULILLAH dan melaksanakan perintah-Nya. 


Sering kali kita menganggap bahawa nikmat itu seperti kekayaan, pangkat, kejayaan 
dalam peperiksaan dan sebagainya. Mungkin kita terlupa ataupun tidak perasan apabila Allah sudah 
menghindarkan kita daripada suatu musibah yang asalnya akan menimpa kita. 
Yang kita nampak, apabila tidak ada yang bertambah pada diri kita, kita bersedih atas kekurangan 
tersebut. Tetapi bukankah terhindar daripada musibah juga suatu nikmat yang besar? 

Bersyukurlah saat susah dan senang kerana hakikatnya Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya berada dalam kepayahan selama-lamanya.. 



Wallahu'alam..


UPDATED BY: AMIRUL IKMAL (TTMS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan