Guruku Oh Guruku
“Kamu
semua melihat aku gembira sekali pada saat ini. Kegembiraanku ini bukan
semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini. Ia kerana hadirnya disisiku
Syeikhku yang mulia. Dia adalah pendidikku, Syeikh Aq Syamsuddin.”
Demikian
adalah inti pati pidato Sultan Muhammad al-Fatih selepas menawan
Konstantinopel.
Hidup
Sultan Muhammad al-Fatih ini dalam jagaan ulama. Syeikh Aq Syamsuddin sentiasa
bersama dengan Sultan Muhammad al-Fatih ini sebelum dan selepas
kemenangannya. Selain mengajarkan teras
ilmu Islam, Syeikh Aq Syamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains,
matematik, sejarah, strategi perang, astronomi, dan lain-lain.
Son
Goku, belajar basic dari Master Roshi. Uzumaki Naruto pula belajar
teknik-teknik hebat seperti rasengan dan summoning jutsu dari siapa? Naruto
belajar daripada Sanin Jiraiya.
Sebab
itu Jiraiya pernah mengungkapkan:
“A
good teacher raises a good apperentince.”
KELEBIHAN
BERGURU
1. Dapat
memahami ilmu dengan lebih sahih dan benar.
2. Membentuk
disiplin yang tinggi.
3. Mempunyai
tempat rujukan.
Jadi,
penilaian terhadap seseorang guru itu penting sebelum diambil ilmu daripadanya.
Jangan hanya lihat seseorang itu boleh terbang, jalan atas air, hanya minum air
zam-zam selama 3 hari, dan sebagainya, terus kita melabel orang tersebut wali
Allah dan kita jadikan dia guru kita. Lihat dulu bagaimana syariatnya, kalau
orang tersebut tidak solat, dia bukan wali terbang, tetapi wali ‘geybang’.
Ibrahim
Ibn Ismail menghuraikan di dalam kitab
Syarah Ta’lim al-Muta’allim bahawa hendaklah dipilih guru yang lebih ‘alim,
lebih warak dan lebih berusia. Sebab itu al-Imam Abu Hanifah rahimahullah memilih Hammad Ibn Abi
Sulaiman sebagai gurunya selepas penilaian tertentu.
Ingat
pesan Nabi S.A.W, Nabi kata:
“Sesungguhnya
para ulama adalah pewaris para Nabi. Nabi-Nabi pula tidak mewariskan dinar dan
dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat
bahagian yang banyak dan sempurna.”
(Hadis
Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Syeikh
Mubarfury di dalam Tuhfah al-Ahwazi
menyatakan maksud “Siapa yang mengambilnya,” dalam konteks hadis ini boleh
difahami dengan erti perintah daripada Nabi S.A.W iaitu siapa yang mengambilnya
hendaklah ia mengambil dengan banyak dan janganlah merasa cukup dengan sedikit.
Apabila
kita merujuk kepada perjalanan ulama untuk mengumpul ilmu agama, misalnya
al-Imam Bukhari (w. 256H) bagi menghasilkan karya agungnya, Sahih Bukhari, beliau mengembara jauh ke
negeri-negeri Islam yang terkenal mempunyai khazanah hadis Rasulullah S.A.W.
Setiap hadis yang dikumpulkan oleh al-Bukhari dikaji terlebih dahulu bagi
memastikan kesahihannya. Imam al-Bukhari menyaring 60,000 hadis selama 16
tahun. Akhirnya, Imam al-Bukhari berjaya menyaring hadis yang sahih dan
ditempatkan dalam kitabnya sebanyak 7,275 buah hadis. Imam Bukhari telah
menemui sebanyak 70,000 ulama dan anak muridnya mencecah ribuan orang
termasuklah yang menjadi anak murid beliau ialah ulama-ulama hebat seperti Imam
Muslim, Imam Nasaie, dan Imam at-Turmuzi.
Suka
saya menceritakan kisah yang dimuatkan oleh Imam Zarnuji di dalam kitabnya Taalim Muallim pada bab “Menghormati
guru, bagaimana diceritakan bahawa Khalifah Harun ar-Rashid telah menghantar
anaknya untuk belajar ilmu adab daripada seorang ulama.
Apabila
khalifah mengintai anaknya, anaknya sedang menjirus air ke kaki ulama dan ulama
tersebut menggosok kakinya. Khalifah melihat keadaan itu marah dan segera
bertanya kepada ulama tersebut, saya ingat Khalifah marah kerana menyuruh
anaknya berbuat sesuatu yang tidak patut kepada gurunya tetapi lihat kata
Khalifah,
“Mengapa kamu menyuruh anakku menjirus air
untuk wuduk? Sepatutnya kamu menyuruh dia menjirus air dengan sebelah tangan
lagi dia gunakan untuk menggosok kakimu!”
Ulama
tersebut ialah Imam Asma’i, seorang pakar bahasa Arab yang terkenal.
Sulaiman
al’Amash merupakan guru kepada Waqi Bin al-Jarrah (guru kepada Imam as-Shafie)
ketika Waqi ini masih muda. Namun sebelum Sulaiman al’Amash mengajar Waqi ilmu
hadis, beliau terlebih dahulu mengajar ilmu nahu kepda Waqi. Kisah ini
dimuatkan di dalam Al-Jami’ Li Akhlaq
al-Rawi wa Adab al-Sami’.
Renungilah
nasihat Imam Zayn al-Din Ibn al-Wardi al-Kindi rahimahullah dalam Lamiyah
Ibn al-Wardi,
“Jangan
kau katakan bahawa telah pupus orang yang ‘alim atau telah luput masa untuk
mencari ilmu. Sesungguhnya siapa yang berjalan mencari ilmu pasti ia akan
mendapatkannya.”
Kita
ni hebat, sebab kita duduk dengan orang yang hebat. Jadi para sahabat saya yang
dirahmati Allah, nasihat saya yang kerdil ini, berhentilah mendengar suara
Jigglypuff (sila rujuk poke-dex),
buka mata dan tuntutlah ilmu bersama ulama. Lihatlah sekeliling anda, Zamri
Rocker, Mak Jemah, Rozie Tiger, Mail Lambung, mereka semua sudah duduk dengan
ulama. Anda bila lagi?
P/S:
Mohon tegur saya sekiranya ada salah silap dalam penulisan saya ini. Semoga
tulisan ini menyaksikan bahawa saya telah menyampaikan. Semoga ada yang
mendapat manfaat daripada tulisan kecil ini.
Wallahu’alam
Al-Faqir
Muhammad Irfan Bin Abdul Rani al-Malaqawi al-Alami
Shah
Alam. 22 Jamadil Akhir 1435
RUJUKAN:
[1]
Ghafarallahuddin Din (2009). Koleksi
Kisah Ceria Pengasuh Akhlak Mulia, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd
[2]
Mohammad Nidzam Abdul Kadir al-Jarumi (2010). Tasawuf Kontemporari, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd
[3]
Mohd Khairul Nizam (Dr) (2012). Motivasi
Gaya Rasulullah, Kuala Lumpur: PTS Millenia Sdn Bhd
[4]
Mohd Mutawwali Sya’rawi Mohamad al-Bakri (2014), Majalah Q&A Isu 25; Sudut Pandang: Bahasa Arab Mempengaruhi
Adab m/s 53-55, Galeri Ilmu Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan
[5]
Muhammad Syaari Abdul Rahman (2011). Kuasa Kepemimpinan al-Fateh, Kuala
Lumpur: PTS Millenia Sdn. Bhd
[6]
Suriani Binti Sudi (2014). Majalah Iman
Isu 24: Hadis: Mari Mengenal Hadis Sahih
m/s 12-13, Kuala Lumpur:
Utusan Karya Sdn Bhd
[7]
Umar Muhammad Nor (2013), Majalah Gen Q Isu 23; Strategi Belajar: Kunci Segala Ilmu. m/s 54-55, Telaga
Biru Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan.
[8]
Zahazan Mohamed (Dr), Ahmad Hasan Mohd. Nazam (2007). 300 Hadis Bimbingan, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan