Jumaat, 17 Oktober 2014

Cantik Manusia Pada Akhlak



Bismillahirrahmanirrahim

Ya Allah Ya Ilahi
Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta,
berfikir sebelum bertindak,
santun dalam berbicara,
tenang ketika gundah,
diam ketika emosi melanda,
bersabar dalam setiap ujian.
Jadikanlah kami orang yang selembut Abu Bakar As-Siddiq,
sebijaksana Umar bin Khattab,
sedermawan Uthman bin Affan,
sepintar Ali bin Abi Thalib,
sesederhana Bilal & setegar Khalid bin Walid r.a,
Amiin ya Rabbal'alamin..
Firman Allah SWT: " Dan sesungguhnya engkau benar-benar berada di kemuncak akhlak yang agung." 
[Al-Qalam 68:4]

Menurut Ibn athiyyah dalam tafsirnya bahawa Aisyah r.ha pernah menyifatkan Rasulullah SAW ialah al-Quran. (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat merendah diri dan sering berdoa agar dihiaskan dengan akhlak yang baik. Lalu Allah SWT mendidik akhlak Baginda SAW melalui al-Quran.
Apabila didikan daripada al-Quran telah sempurna, maka Allah menurunkan ayat ini bagi memuji keagungan akhlak Nabi SAW. 
Melalui ayat ini, Allah SWT sebenarnya mahu menarik perhatian kita pada akhlak Baginda SAW yang ternyata sangat luhur dan mempunyai keistimewaan rohaniah yang sangat tinggi. 
Malah ia menunjukkan bahawa akhlak Nabi SAW bertunjangkan Ilahiyat Quraniah iaitulah sifat yang mencerminkan keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kerana itu, Allah SWT mengkehendaki kita agar mengkaji dan mengamalkan akhlak Baginda SAW yang menjadi contoh kepada kehidupan ini. 
Pemimpin Generasi Al-Quran
Dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan akhlak Baginda dengan menggunakan perkataan 'ala
 ( على)  iaitu berada di kemuncak kesempurnaan peribadi dan kesolehan.
    Bukan itu sahaja , malah Baginda SAW memimpin generasi yang unik itu untuk menjadi Safwatus Safwah iaitu mengangkat mereka daripada kehidupan yang bernadikan persengketaan dan kejahatan kepada menjadi pemimpin yang disayangi dan ditaati di Timur dan Barat. 
Maka tidak hairanlah dengan akhlak Qurani yang Baginda miliki, ia membentuk satu cerminan yang sempurna hingga mampu melahirkan generasi Al-Quran yang sangat cemerlang.
 
  













Dalaman Baik, Akhlak Pun Cantik
Berapa ramai yang yang mengaku mengamalkan tasawwuf tetapi lidahnya tidak pernah kering daripada mengumpat dan memfitnah. Berapa ramai yang berpakaian bak orang baik tetapi akhlaknya terhadap orang Islam yang lain laksana senjata berbisa tanpa rahmat dan belas kasihan. 
Ternyata penampilan fizikal itu belum lagi sebati dengan isi hati. Sikap ini samalah dengan zahir yang rapuh seperti kristal - mudah pecah apabila terjatuh.
Ringkasnya, mencontohi Nabi SAW janganlah terbatas pada zahir yang kelihatan anggun, tetapi mestilah dikaji intinya iaitu penjagaan dalaman kerana itulah nilai jati diri hamba yang memiliki akhlak yang murni.
   

--------------
Dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Gen-Q isu 38| Kolum Wahyu Ilahi - Ust Zahazan Mohamed.

p/s: Mari kita sama-sama mencontohi, menteladani dan mempraktikkan akhlak baginda Rasulullah agar menjadi manusia yang berakhlak mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.. ^^
Wallahu'alam..

Updated by: Al-Faqir Amirul Ikmal (TTI3) | Jumaat,17/10/14 | 22 Zulhijjah 1435

Tiada ulasan:

Catat Ulasan