Bismillah. Assalamualaikum. Allahumma solli ala Sayyidina Muhammad.
Kehidupan ini terlalu singkat namun sangat mahal untuk dosa & perkara yang sia-sia. Manusia diciptakan untuk beribadah. Bahkan jika seluruh masa ini dihabiskan dalam ketaatan sekalipun, manusia masih tidak mampu membalas semua kebaikan al-Rahman. Apatah lagi kalau banyak masa yang dibuang sia-sia!
Mereka yang mensia-siakan masa ialah orang yang bankrap dalam perniagaannya dengan Allah SWT. Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Ingat, musuh perkara yang 'lebih' penting ialah perkara yang penting.
Maka di tengah-tengah kekalutan & keserabutan kita yang 'kononnya' terlalu sibuk, cuba berhenti sejenak. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sibukkan? Bimbang, kesibukan kita ialah suatu deraan yang kita cipta sendiri kerana membelakangkan cinta Allah SWT.
Cari semula pangkal jalan, tujuan hidup. Tanyakan pada diri semula, "Apa yang aku cari dalam hidup yang singkat ini?" Alhamdulillah, jika sudah nampak semula cahaya arah, tujulah kembali tanpa berlengah.
Imam al-Syafi'e pernah berkata: "Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi yang lebih aneh ialah manusia yang melengah-lengahkannya."
Kadang kala "Jemputan ke arah kebaikan" singgah secara tiba-tiba. Amat rugi jika kita mengabai 'Jemputan' tersebut. Kutiplah titipan kasih daripada Allah SWT apabila suara hati kita tiba-tiba berbisik: "Sampai bila aku harus begini?"
Kata hukama: "Apabila seseorang didatangi rasa hati begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Allah SWT untuk datang ke arah kebaikan!". InsyaAllah :')
Ila Aina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan