"Adakah para sahabat (yang berada di masjid) sudah selesai menunaikan solat?' tanya Rasulullah SAW kepada Saidatina Aisyah R.ha.
"Belum, mereka semua sedang menunggu kedatangan Tuan." jawab Aisyah dan para sahabat. Baginda SAW yang sedang sakit tenat menggagahkan diri bersuci dan berwuduk untuk ke masjid. Setelah itu, Baginda pun mula bangun untuk pergi menunaikan solat. Tiba-tiba Baginda jatuh dan pengsan.
Peristiwa ini dirakam oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari. Diriwayatkan, peristiwa Rasulullah SAW bangkit dan berusaha untuk pergi menunaikan solat berjemaah, namun kemudiannya pengsan berulang sebanyak tiga kali. Pada kali keempat, apabila Baginda menyedari bahawa diri amat tenat, Baginda mengarahkan Sayidina Abu Bakar untuk mengimamkan solat berjemaah. Nukilan peristiwa ini amat meruntun hati para pencinta Rasulullah SAW. Ketabahan dan kesungguhan Nabi untuk bangkit menyempurnakan misi solat berjemaah amat dikagumi. Bayangkan ketika sedang berjuang melawan kesakitan, rasa lemah, sedar dan pengsan silih berganti, Baginda tetap berusaha menjadi seperti orang sihat untuk menyempurnakan solat berjemaah di hadapan Allah SWT.
Peristiwa ini menjadi ketukan di pintu hati umat Islam agar berikrar menjaga solat secara berjemaah. Sirah Rasulullah SAW merupakan teladan sepanjang zaman buat umatnya. Apatah lagi jika peristiwa sirah itu berlaku berulang-ulang, maka sudah tentu ia menjadi suatu 'penegasan' agar dihayati dengan bersungguh-sungguh. Sekadar bermuhasabah, hari ini berapa ramai orang sihat tubuh badannya bangkit untuk menunaikan solat berjemaah tatkala azan berkumandang? Adakah kita ini termasuk dalam kalangan mereka? Renung-renungkanlah...
Kehebatan solat berjemaah ini hanya dapat dirasai secara alami oleh sesiapa yang melaksanakannya. Ibarat hidangan makanan, ia hanya dapat dinikmati kelazatannya apabila kita menjamahnya.
Sehingga ke hari ini, tiada siapa yang mampu menafikan kesan positifnya. Malah, penemuan semasa menguatkan lagi testimoni hebatnya amalan solat berjemaah.
Kajian terbaru Prof. John Herbert, pensyarah fizik di Amerika Syarikat merungkai keajaiban yang terdapat di sebalik solat berjemaah. Beliau menyatakan sentuhan yang berlaku antara sesama ahli jemaah mewujudkan keseimbangan antara cas positif dengan negatif yang wijud dalam tubuh manusia.
Walaupun solat berjemaah hukumnya fardu kifayah (kecuali solat Jumaat), tetapi ini tidak bermaksud cukup dengan hanya menyerahkan tugas ini kepada sekelompok umat Islam sahaja untuk melaksanakannya. Bisikan "solat jemaah bukan wajib pun" perlu dikikis sehingga kita mampu mewajibkannya pada diri sendiri. Bayangkan jika setiap umat Islam bersikap lepas tanggungjawab kepada diri umat Islam yang lain, maka masjid akan menjadi kosong dan terbiar akibat sikap ini.
Anas bin Malik menceritakan ketika kaum Muslimin melaksanakan solat subuh yang dimami oleh Sayidina Abu Bakar r.a pada hari Isnin, tiba-tiba Rasulullah SAW menyingkap tirai bilik Aisyah r.ha dan melihat kami berdiri di saf. Baginda tersenyum puas.
Saat itu kaum Muslimin hampir membatalkan solat kerana gembira melihat Rasulullah SAW. Lalu Baginda memberikan isyarat dengan tangan agar mereka meneruskan solat.
(Riwayat al-Bukhari)
Ia berlaku setelah peristiwa Baginda SAW pengsan sebanyak 3 kali kerana sakit tenat dan tidak dapat menunaikan solat jemaah di masjid seperti biasa.
Sebahagian ulama mentafsirkan Baginda SAW senyum kerana menyaksikan keindahan pemandangan solat berjemaah yang dilakukan oleh para sahabatnya. Tanpa dijangka, senyuman yang dikukir kepada jemaah solat para sahabat itu merupakan yang terakhir. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.
Dipetik dan diubahsuai dari Majalah Gen-Q isu 42.
Update by: Amirul TT
Salam saya ada beberapa soalan saya nak tanya. Soalan saya tidak berkait dgn post di atas. Boleh ke saya tahu ruangan utk tanya soalan kalau ada? Terima kasih ya. Maaf kalau mnyusahkan saudara/saudari.
BalasPadam