KISAH SANGKA BAIK IMAM ABU HANIFAH
Al-Imam
Abu Hanifah Bin Nu’man didatangi seorang lelaki. Dia bertanya kepada al-Imam:
“Wahai Imam, apa pendapat kamu terhadap seseorang yang tidak langsung mengharapkan
syurga, tidak takut kepada neraka, tidak takut kepada Allah, suka memakan
bangkai, menunaikan solat tanpa rukuk dan sujud, bersaksi terhadap perkara yang
dia sendiri tidak saksikan, membenci perkara yang hak, suka kepada fitnah,
menjauhkan diri daripada rahmat, malah membenarkan perkataan Yahudi dan
Nasrani?”
Al-Imam
Abu Hanifah tersenyum dan meminta pandangan anak murid beliau. Anak murid Imam
mengatakan sifat tersebut tentulah dia orang yang kafir. Namun lihat apa
jawapan Imam Abu Hanifah, “Sesungguhnya lelaki yang bersifat seperti itu ialah
seorang daripada wali Allah.”
Sebab
apa? Imam Abu Hanifah terangkan satu persatu:
1. Tidak
berharap kepada syurga bermakna dia mengharapkan Tuhan pemilik syurga.
2. Tidak
takut kepada neraka bermakna dia hanya takutkan Tuhan pemilik neraka
3. Dia
tidak takut kepada Allah bermakna dia tidak takut Allah melakukan sesuatu yang
tidak baik kepadanya.
4. Dia
suka memakan bangkai bermakna dia suka memakan ikan.
Baginda
Nabi S.A.W bersabda:
“Airnya suci (air laut) dan bangkainya (ikan) halal.”[2]
5. Dia
solat tanpa rukuk dan sujud bermakna dia solat jenazah.
6. Bersaksi
terhadap perkara yang tidak dia saksikan bermakna dia bersaksi bahawa Allah
Tuhan Semesta Alam dan Nabi Muhammad utusan Allah, sudah tentu dua perkara ini
tidak dilihat oleh kita.
7. Membenci
kepada perkara yang hak. Hak bermaksud mati, perkara yang benar, pasti. Hanya
dengan hidup, ibadah kepadaNya boleh diteruskan. Sebab itu dia membenci mati.
8. Suka
kepada fitnah pula ialah anak-anak dan harta.
Firman
Allah di dalam surah al-Kahf (surah yang ke 18) pada ayat yang 46:
“Harta
benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh
yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan,
dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”
9. Menjauhkan
diri daripada rahmat bermakna hujan. Bukankah hujan itu rahmat?
Allah
Subhanu Wa Ta’ala berfirman di dalam surah Al-‘Araf, surah yang ke 7 pada ayat
yang ke 57:
“Dan
Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan
sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu
hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke
negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan
dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai
jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula)
orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran
daripadanya).”
10. Membenarkan
kata Yahudi dan Nasrani pula sebagaimana di dalam ayat al-Quran, di dalam surah
al-Baqarah (surah yang ke-2) pada ayat ke 113:
“Dan
orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai
sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula
berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang
benar)"; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan
Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak
berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka
Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa
yang mereka berselisihan padanya.”
Sebab itu, nasihat saya yang bajet bagus ni. Kita tak perlu lah nak melabel orang ni sebagai golongan tertentu. Teringat jawaban TG Dzulkifli Mohd al-Bakri Hafizahullah ketika saya bertanya berkenaan golongan yang suka melabel sebagai golongan tertentu,
"...Jadi lebih baik kita menghormati, menyatakan: Semoga Allah merahmati mereka semua.
al-Ghazzali; Allah merahmati, Ibn Taimiyyah; Allah merahmati, Sheikh Abdul Qadir Jailani: Allah merahmati, Ibn Qayyim; Allah merahmati, Sheikh Abdul Wahab Sya'rani; Allah merahmati.
Saya kurang berseleralah dengan cara macam tu, kurang seronoklah dengan label melabel ni."[3]
Khadam Ilmu dan Ulama,
Al-Faqir Muhammad Irfan Bin Abdul Rani Bin Ismail Bin Abdullah al-Malaqawi al-Alami,
Shah Alam, 30 Rejab 1435
NOTA KAKI:
[1] Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir (2013),Majalah Q&A 22: Anjung al-Atrak; Benarkah Dia Wali Allah? m/s 70-72. Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
[2] Hadith Riwayat Abu Daud, al-Turmuzi, an-Nasaie, Ibn Majah dan Imam Ahmad Bin Hanbal. Al-Turmuzi berkata hadith ini hasan sahih.
[3] Baca penuh di sini [LINK]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan