Urus MASA KECEWA
Apabila sasaran atau matlamat yang diimpikan tidak kesampaian, perasaan kecewa akan melanda diri. Kecewa apabila keputusan peperiksaan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan, kecewa kerana permohonan ke universiti yang diidam-idamkan ditolak. Malah berasa kecewa setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu, namun ada halangan mendatang sehingga akhirnya kita gagal.
Untuk menjadi seseorang yang tidak pernah berputus asa, seharusnya ujian kekecewaan ini dapat diatasi dengan baik. Sebagai seorang yang mengaku dirinya Muslim, apa jua perkara yang berlaku perlu diterima dengan reda. Malah, ditangani dan diurus dengan penuh hikmah. Wahai orang yang kecewa, berimanlah dengan qada' dan qadar Allah!!
MENGENDALIKAN KECEWA
Tatacara mengurus diri seseorang yang dalam kekecewaan hanya benar-benar dapat dipraktikkan apabila kecewa itu menjadi realiti. Biasanya orang yang kecewa akan berkata: "Kamu cakap senang, buat itu ini, tetapi saya yang menanggung kekecewaan." Seharusnya ucapkan begini: "Saya ada plan B selepas kecewa dengan kegagalan plan A."
Ya, itulah langkah yang perlu diambil untuk mengatasi perasaan kecewa. Mengurus masa kecewa boleh diumpamakan seperti orang yang sedang berlari laju dan menghampiri garisan penamat, namun tiba-tiba jatuh tersungkur. Tempoh masa ketika dia jatuh sehingga dapat berlari semula itu ialah masa kecewa buat dirinya.
Justeru, uruslah masa kecewa ini dengan bijak. Semangat yang kuat akan membuahkan hasil yang baik. Dalam tempoh tersebut, benarkan perkara positif meresap dalam diri. Didik diri menjadi orang yang optimis bukan pesimis. Fikirannya membayangi kejayaan yang bakal ditempuh sehingga mampu mengatasi kisah kegagalan yang telah terjadi.
Pelajari kesilapan lalu untuk kita tempa kegemilangan masa depan.
MENGINGATI ALLAH
Siapalah kita untuk menafikan janji Allah, bahawa dengan mengingati-Nya boleh memberi ketenangan yang hakiki. Inilah ubat paling mujarab yang tiada tandingan. Penawar percuma dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Ia semudah dengan mendidik hati kita menerima ketentuan Allah dan kembali kepada-Nya.
Lazimi istighfar, tanda kita mengakui kesilapan yang dilakukan. Ucpkan alhamdulillah daripada sekecil-kecil kurniaan-Nya, agar apabila mendapat kejayaan yang lebih besar kita tidak melupakan-Nya. Teruskan memuji Allah kerana dengan kuasa-Nya sahaja kita boleh menikmati kehidupan sehingga hari ini. Malah, belum terhitung lagi nikmat lain yang diberikan iaitu iman,Islam dan keluarga bahagia.
Harus diberi perhatian, ingat kepada Allah bukan ketika kecewa sahaja. Cintailah Allah sepenuh jiwa, dan ingatilah Allah setiap ketika. Benar, Allah tempat kita mengadu apabila ada ujian melanda.
Utamakan Allah dalam apa jua tindakan. Bukan hanya sedih,kecewa,keluh-kesah dan risau, bahkan mengingati Allah mesti didahulukan ketika gembira, senang hati dan lapang dada.
Kekecewaan yang menimpa kita seharusnya dipujuk dengan janji Allah ini:
"Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."
(Surah al-Taubah 9:40)
Moga-moga kecewa yang menimpa mengandungi hikmah yang besar yang belum kita ketahui. Bukankah Allah mempunyai perancangan yang Maha Hebat.. :)
Wallahu'alam bisawab..
Rujukan:
Majalah Gen-Q isu 34
Kolum 24/7,
Kolumnis: Khadijah Khalilah Abd Rahsid
Edit by:
Amirul Ikmal (TTI 3)
13 Syaaban 1435/11.6.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan