Jumaat, 2 Oktober 2015

Perkahwinan Yang Berkah (Dari Ta'ruf Hingga Ke Akad)



Assalamualaikum Warahmatullah. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Robbil A'lamin. Segala pujian tertentu kembali pada Allah, Wasolatu Wassalamu A'la Asyrafil Anbiyai Wal Mursalin, Walhamdulillahi Rabbil A'lamin. 

MUQADIMAH

Kita akan kongsikan berkenaan dengan cara-cara untuk meraih keberkatan dalam sesebuah pernikahan. InshaAllah. Dalam setiap perbuatan, kita mencuba untuk meraihkan keberkatan dalamnya dengan harapan keberkatan yang diberikan oleh Allah akan menjamin perbuatan tersebut berjalan dengan lancar lagi sempurna. 

Misalnya kita masih belajar, jadi keberkatan merupakan kunci untuk janjikan ilmu yang kita dapat itu adalah ilmu yang bermanfaat. Begitu juga dengan pernikahan, yang dimana kita ingin mempunyai rumahtangga yang indah dan bahagia buat selamanya. Jadi kuncinya adalah keberkatan yang Allah turunkan dan janganlah kita mengambil ringan sebab rumahtangga yang tidak mempunyai keberkatan dalamnya diibaratkan seperti bunga yang cantik tetapi tidak mempunyai bau yang harum ataupun buah yang tidak manis rasanya ataupun makanan yang pahit rasanya.

Jadi bagaimanakah untuk mendapatkan keberkatan dalam pernikahan? Pada post ini, kita akan huraikan antara cara-cara yang diajar oleh Nabi صلى الله عليه وسلم. Untuk cerita tentang pernikahan, kita akan mulakan dari awal. Dari bagaimana kedua pasangan itu bertemu. Dan bagaimanakah pasangan itu jaga diri mereka sebelum bernikah. Lalu apabila dihari pernikahan mereka, bagaimana pula mereka meraihkannya. 

Permulaan sebelum Bernikah

" Kalau kita ingin tanam sebuah pokok yang dapat mengeluarkan buah-buahan yang sedap lagi manis, kita bermula dengan biji pokok itu. Jika bijinya buruk maka jangan kita berharap buahnya akan jadi manis."



Sebab permulaan yang penting, kalau kita ingin tanam sebuah pokok yang dapat mengeluarkan buah-buahan yang sedap lagi manis, kita bermula dengan biji pokok itu. Jika bijinya buruk maka jangan kita berharap buahnya akan jadi manis. Zaman sekarang, kita melihat pelbagai maksiat yang dilakukan oleh kedua orang manusia yang sedang bercinta, padahal mereka tidak dihalalkan lagi untuk membuat beberapa perkara tetapi mereka sudah buat sesuatu diluar garisan pernikahan. 

Inilah yang dinamakan sebagai “berpasangan” atau “couple”, banyak soalan berkenaan berpasangan ini, adakah ia haram ataupun tidak. Untuk menjawab soalan ini, kita mesti faham jika berpasangan ini haram. Berpasangan ini haram bukan kerana namanya “couple” tapi sebab perbuatan yang dilakukan itu haram. Contohnya, ada seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan, lalu mereka berpimpin tangan padahal mereka belum halal. Kita pun kata, “Eh, kamu berdua ‘couple’ eh?” Mereka menjawab, “tidak, kami bukan ‘couple’. Kami cume ‘steady‘” “‘Steady’ itu apa?” Mereka menjawab, “‘Steady’ itu ‘steady relationship’. ‘Steady’ tidak haramkan? Sebab yang haram hanya ‘couple’ sahaja. Kami tidak ‘couple’. Kami ‘steady’” Nampak tak? Jadi bukan kerana namanya ’couple’ atau ‘steady’ jadi haram. Istilahnya tidak penting. Sekali pun mereka kata tunang. Ada yang sampai terlajak hingga membuat zina, dan jangan terperanjat jika sudah buat zina sekali, tidak mustahil untuk buat seterusnya. Nauzubillah. 

Bayangkan macamana mahu ada keberkatan jika awal-awal hubungan tersebut sudah penuh dengan maksiat. Hukumnya diambil dari perbuatan mereka. Jadi balik ke hukum ‘couple’. Jika ‘couple’ yang dimaksudkan adalah mereka berdua-duaan, mereka berpegang tangan, bermesra maka jelas hukumnya haram. Sekali pun mereka akan bernikah tidak lama lagi. Tapi jika mereka buat dengan cara ini, adakah Allah redha? Janganlah kerana nafsu semata-mata, sanggup buat maksiat dalam hubungan yang belum halal. Ramai yang ‘couple’ dan apa jadi selepas nikah? Mereka bercerai. Kenapa? Kerana tiada keberkatan dalamnya.

Niat sebelum Nikah

Pernikahan ini adalah membina sebuah rumahtangga yang dimana kta ada tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai suami isteri. Jika niat kita untuk bernikah sebab untuk membina keluarga yang bertaqwa, soleh dan solehah, InshaAllah ada berkat dalam pernikahan itu

Dan juga yang paling penting adalah niat. Jika niat kerana mahu puaskan nafsu, apabila sudah bernikah, dan puaskan nafsu. Bila sudah mula rasa bosan maka akan berlaku penceraian. Ini bukan cerita rekaan, tapi sudah banyak terjadi. Kita tengok sebelum kahwin, sangat sweet sana-sini. Siap panggil I dan You lagi, tapi semua itu hilang apabila telah bernikah. Dan apabila sudah bernikah, selalu bergaduh, bertengkar dan akhirnya bercerai. Itu kerana niat sudah salah. Kita kahwin bukan hanya semata-mata demi nafsu, malah lebih dari itu. 

Pernikahan ini adalah membina sebuah rumahtangga yang dimana kta ada tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai suami isteri. Jika niat kita untuk bernikah sebab untuk membina keluarga yang bertaqwa, soleh dan solehah, InshaAllah ada berkat dalam pernikahan itu. Jadi apakah cara Islam mengajar kita untuk menjaga hubungan sebelum nikah? Islam sama sekali tidak mengharamkan untuk mempunyai perasaan suka, rindu atau cinta sebab ini merupakan fitrah manusia. Untuk jatuh cinta adalah menjadi kebiasaan.

 Jika seseorang itu meluahkan perasaan dia kepada si bukan mahram, itu belum lagi haram tapi yang salah apabila cara mereka meluahkan cinta itu dengan membuat perbuatan yang haram. Islam mengajar untuk bernikah. Jika sudah ada perasaan cinta itu, barulah ajak bernikah, itulah Islam ajar. Islam pun tidak mengharamkan untuk berkenalan tapi berkenalan ini kenalah tahu jaga batas pergaulannya. Baiklah, itu adalah dari sudut sebelum nikah. 


Pembaziran dalam pembelanjaan

Nikah menjadi mahal. Zina menjadi murah malaha percuma!


Apabila pasangan sudah bersetuju untuk bernikah, ada ibu bapa yang suka letak nilai mas kahwin yang tinggi hingga tidak termampu si lelaki itu. Ada yang 10 ribu, 12 ribu dan sebagainya, ini merupakan suatu membaziran. Hantaran pula yang dimana yang hanya merupakan sunat tapi bagi adat melayu adalah satu kewajiban. Hantaran tidak wajib tapi yang wajib adalah mas kahwin. 

Sungguhpun begitu disunatkan agar dikurangkan mas kahwin atau mengikut kemampuan seadanya. “Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Perkahwinan yang paling banyak berkatnya ialah yang paling murah mas kahwinnya.’” [HR Ahmad]. 

Selain itu, perbelanjaan menyediakan jamuan, ditokok tambah dengan hiasan bunga telur, hiasan pelamin, menempah mak andam, menyewa baju berberapa helai, perhiasan rumah, kad jemputan dan kumpulan kompang. Oleh itu amat penting perbelanjaan perkahwinan tidak dilebih-lebihkan. Buat sekadar mampu, kerana yang penting ialah majlis akad nikah. Jadi apabila sudah mahal, pasangan akan tangguhkan pernikahan mereka. Jadi jangan menyusahkan pernikahan, kerana apabila sudah ditangguh maka akhirnya mereka berzina, sudah terlambat untuk menyesal, bila sudah berzina, barulah kahwin sebab mahu tutup malu. Itu adalah dari segi mas kahwin

Pilih pasangan kerana keduniaan

Ada juga ibu bapa yang masalah dalam memilih calon. Mereka mahu lelaki yang kaya dan berjaya dalam dunia. Ini pun berlaku kepada ibu bapa yang materialistik. Tapi apabila lelaki yang hafal al-Quran, bagus akhlak dan agamanya, walaupun tidak kaya tapi asalkan cukup untuk hidup, ditolak dan tidak setuju oleh ibu bapa. 

Jadi apa mahu buat, jawapnya memang benar redha Allah terletak di atas redha ibu bapa, tapi jika ada lelaki yang dah bagus agama dan akhlaknya, tidak diredhai ibu bapa, jangan risau, teruskan sahaja pernikahan itu, sebab ibu bapa tidak patut untuk tidak redha dengan perkara yang bagus dalam agama. Tapi bagaimana jika ayah tidak mahu menjadi wali nikah? Tiada masalah, seorang wali tiada hak untuk menolak untuk jadi wali. Maka wali yang tidak mahu menjadi wali boleh laporkan kepada pejabat agama. Jadi itu adalah masalah zaman sekarang, yang dimana ibu bapa boleh tolak yang bagus agamanya disebabkan dunia. 

Ilmu dulu. Baru Nikah!

Apabila mahu bernikah, ingatlah sekalian mestilah ada ilmu terlebih dahulu. Ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam tapi nikah itu adalah sunnah. Jadi mana yang patut kita utamakan? Sudah tentu ilmu. Memanglah ilmu ini jika tuntut sampai bila tidak akan habis. Tapi cukup dengan tahu ilmu fardu ain atau pun yang asas. 

Contoh, macamana mahu nikah kalau dia masih tidak tahu untuk solat ataupun mahu mandi hadas besar? Sebab ini akan menjadi masalah bila sudah nikah. Imam Nawawi sanggup tidak nikah dan bujang hingga akhir hayatnya sebab mahu mengarang kitab. 

Imam Nawawi pernah ditanya mengapa beliau tidak berkahwin dan jawab beliau sebab beliau takut beliau akan melakukan dosa apabila nikah. Apa maksud Imam Nawawi? Imam Nawawi takut tidak dapat jalankan tanggungjawabnya sebagai suami apabila sudah nikah lalu mendapat dosa. Takut terlalu sibuk dalam mengarang kitab hingga tidak dapat beri nafkah kepada isterinya, sebab itu beliau tidak bernikah. Tapi lihatlah betapa banyaknya kitab beliau yang sampai sekarang digunakan sebagai rujukan. MasyaAllah

Walimatul Urus yang tidak berkat

1. Pembaziran

Baiklah, sekarang kita bincang bab walimatul urus. Walimatul urus adalah juga merupakan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلمtapi ramai yang tidak ambil berat hingga melakukan maksiat ketika walimatul urus. Apa salahnya? Pertama sekali adalah membazir. Kita tahu kita kaya, tapi janganlah membazir. Habis ribuan ringgit sebab mahu buat di hotel, katering untuk ribuan tetamu, decoration lagi. Sanggup buat sebab mahu nampak grand. Tapi adakah ini berkat? Cukuplah dengan bersederhana. Tidak perlu buat grand. Duit tidak menjaminkan kebahagiaan. Yang menjaminkan kebahagiaan adalah berkat yang Allah turunkan. 

2. Tidak menjemput orang miskin

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” 

Nampak tak? Orang miskin dan orang yang susah tidak dijemput sebab orang ini tiada ‘class’ kan? Tapi itulah seburuk-buruk majlis. Lalu hadirin yang dijemput datang dengan pakaian yang terdedah, tidak tutup aurat, lelaki dan perempuan bercampur, macamana mahu berkat majlis itu? Sibuk dengan menjemput orang begini hingga malaikat rahmat tidak mahu datang ke tempat maksiat. 

3. Majlis Maksiat



Ulama kata kalau mahu buat majlis nikah, letak kod pakaian “hanya tutup aurat dengan sempurna sahaja boleh masuk.” 

Nasiblah kalau terasa. Apa jadi kalau pengantin lelaki ternampak perempuan yang lebih cantik? Sudah tiada hati mahu kahwin dengan bakal isteri dia. Jangan ambil mudah dengan hal ini. Dengan muzik, perempuan nyanyi, berjoget dan hiburan yang melalaikan. Lagi satu yang paling ramai tidak mengambil berat adalah tabaruj jahilyah, pengantin perempuan sudahlah tidak tutup aurat, tabaruj lagi. 

4. Tabarruj

Tabaruj adalah mencantikkan diri yang melebihilebih, dicukur kening yang jelas perbuatan ni dilaknat. Pakai pakaian ketat yang menjolok mata. Yang peliknya si suami itu tidak rasa cemburu apabila isteri dia dilihat oleh lelaki lain. Ini adalah antara sebab-sebab tiada keberkatan. Kita mahu makan pun baca bismillah supaya makanan itu berkat, tapi kalau tidak baca, apa jadi? Tiada keberkatan. 

5. Syirik

Begitu juga dengan nikah dan walimatul urus tapi sudah melakukan maksiat, ada juga yang sampai melakukan syirik, Seperti amalan mencampak beras yang dipercayai mereka akan dimurahkan rezeki, walhal tiada pun diajar dalam agama. Boleh jadi syirik sebab anggap beras itu boleh mendatangkan rezeki

Ada juga yang tangguhkan tarikh atau bulan tertentu sebab takut nasib malang. “Eh, jangan kahwin pada hari yang ke13 dalam bulan sekian sekian, nanti nasib malang.” 

Ini semua syirik. Nabi صلى الله عليه وسلمsabda, “Barang siapa yang tangguhkan hajatnya kerana al thayrah (bad luck) maka dia telah syrik.” [HR Ahmad]. 

Juga ada yang buat kuda kepang sebagai hiburan yang jelas khurafat. Baiklah, jadi itu adalah antara kesalahan kesalahan yang dianggap remeh oleh orang melayu. Bila sudah nikah dan sah. Maka pelbagai masalah akan timbul berpunca dari permulaan pernikahan mereka. Jadi jika kita inginkan keberkatan, buatlah apa yang diajar oleh agama. 

Tidak perlu buat secara grand majlis tersebut tapi cukuplah dengan sekadarnya. Jemput orang miskin dan organg susah untuk menghadiri majlis. Bila sudah azan, solat dalam majlis, jangan duduk diatas pelamin lagi. InshaAllah, dengan berbuat seperti ini. kita doa untuk dapat keberkatan. Baiklah, sekian sahaja usrah kita pada post ini.


Ditulis oleh Serban Putih (aka Akhi Mus) 
Twitter- _Serbanputih
Diambil dari Usrah TeamTazkirah tajuk "Perkahwinan yang berkah" 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan