MASJID RUMAH UTAMA SETIAP MUKMIN
Bismillahirrahmanirrahim.
ALLAH SWT BERFIRMAN YG BERMAKSUD:
"SESUNGGUHNYA YANG LAYAK MEMAKMURKAN (MENGHIDUPKAN) MASJID-MASJID ALLAH ITU IALAH ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT, MENDIRIKAN SOLAT, MENUNAIKAN ZAKAT SERTA TIDAK TAKUT MELAINKAN KEPADA ALLAH; (DENGAN ADANYA CIRI-CIRI TERSEBUT) MAKA DIHARAPKAN MEREKA MENJADI GOLONGAN YANG MENDAPAT PETUNJUK..
(Surah At-Taubah 9:18)
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang berwuduk di rumahnya dan datang ke masjid, maka dia (seperti) menziarahi Allah. Sudah tentulah menjadi hak Allah SWT untuk memuliakan orang yang menziarahi-Nya."
[HR al-Tabarani]
Kelebihan Tetamu Terhormat
Beruntung sungguh manusia yang dimuliakan oleh Allah sebagai tetamuNya. Sekiranya kita dijemput ke majlis santapan di istana sudah merasakan begitu istimewa dan mendapat pengiktirafan yang tertinggi, inikan pula kemuliaan yang diberikan oleh Raja Sekalian Alam, sudah tentu ia lebih istimewa dan bermakna dalam hidup kita.
Bukan sekadar itu sahaja, Allah menambahkan lagi kepada tetamuNya dengan nikmat ketenangan yang menyelimuti hati mereka. Maka, ibadahnya menjadi lazat, hatinya lebih khusyuk dan kehidupan mereka sudah tentu berkat di dunia dan akhirat.
Sejak awal-awal lagi Nabi SAW telah memotivasikan kita untuk kerap memakmurkan rumah Allah dengan mengungkapkan:
"Ada tujuh golongan yg mendapat perlindungan Allah pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganNya. Mereka ialah pemimpin yang adil, anak muda yg sentiasa beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah dan seseorang yang berzikir kepada Allah ditempat yg sunyi kemudian bercucuran air matanya." [HR Bukhari dan Muslim]
Takut kepada Allah
Menerusi ayat ini, Allah juga menggambarkan ciri-ciri manusia yang bakal memperoleh hidayah Allah. Antaranya termasuklah mereka yg menjaga solat, mengeluarkan zakat dan tidak takut selain daripada Allah Taala.
Setelah beriman dengan Allah, mereka wajib mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat. Dari segi tersiratnya, solat ini menunjukkan kewajipan kita menjaga keutuhan hubungan dengan Allah SWT. Manakala zakat pula mengisyaratkan kita wajib membinahubungan baik sesama manusia.
Menurut Ibn 'Asyur dalam tafsirnya, seseorang Mukmin itu mungkin merasa takut pada sesuatu seperti singa ataupun musuh. Tetapi jika dihimpunkan kedua-dua jenis ketakutan ini, ia tidak lebih hanya takut kepada sesama makhluk sahaja. Sedangkan ketakutan kepada Allah itu lebih diutamakan daripada selainnya.
Seorang Muslim tidak akan mengorbankan ketakutannya kepada Allah demi kepentingan dunia. Sedangkan seorang musyrik mungkin akan mengorbankan ketakutannya kepada tuhannya apabila terpaksa.Secara semula jadinya,tabiat ini membezakan antara seorang Muslim dengan musyrik.
Ikat Hati dengan Masjid
Rasulullah pernah bersabda: "Jika engkau melihat seseorang lelaki itu sentiasa ke masjid, maka saksikanlah bahawa dia itu beriman." [HR Ahmad dan al-Tirmizi]
SESEORANG YANG BERIMAN, PASTI HATINYA TERHIBUR UNTUK KERAP BERULANG-ALIK KE MASJID. TAK KIRA SAMA ADA JAUH ATAU DEKAT, SIANG ATAU MALAM, PANAS ATAU HUJAN. IA TETAP BERUSAHA KE MASJID. INILAH SALAH SATU MANIFESTASINYA APABILA SESEORANG ITU BENAR-BENAR BERIMAN.
Maka, ikatlah hati kita dengan masjid untuk membina keakraban hubungan dengan Allah!
Insha Allah. Wallahu'alam.
(Dipetik dan diubahsuai dari Majalah Gen-Q isu 31, Kolum Wahyu Ilahi; Kolumnis Ust Dr. Hj Zahazan Mohamed)
-Akhi_Amirul_Ikmal-
27 Rejab 1435; 27/5/14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan