Khamis, 26 Disember 2013

IBARAT DAUN KERING BERGUGURAN




Bismillahirramanirahim. 
Pada suatu hari, Abu Uthman dan Salman Al-Farisi yang merupakan sahabat baik sedang berada di bawah sepohon pokok. Sedang mereka berbual-bual, tiba-tiba Salman memegang sebatang dahan kering dan menggongcangnya.
Lalu, daun-daun kering di dahan tersebut berguguran sehelai demi sehelai.
Abu Uthman memerhatikan keadaan tersebut dengan penuh minat. Salman berpaling ke arah rakannya sambil bertanya: "Wahai Abu Uthman, mengapa engkau tidak bertanya sebab apa aku melakukan sebegini?"
Abu Uthman segera menjawab: "Beritahulah sebab engkau melakukan sebegitu."
Salman berkata: "Kerana beginilah yang pernah Rasulullah S.A.W lakukan di hadapanku." . 
Beliau menyambung: "Kami berada di bawah sebatang pokok. Baginda S.A.W mengambil sepohon dahan kering dan telah menggongcangnya sehingga semua daun berguguran.
Kemudian Baginda bertanya: " Wahai Salman, tidakkah kamu mahu bertanya sebab aku lakukan begini?"
Aku bertanya: "Beritahulah sebab tuan melakukan seperti itu."
Baginda bersabda: 'Sesungguhnya, apabila seseorang Muslim mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat fardhu lima waktu, maka gugurlah dosa-dosanya sebagaimana gugur daun-daun tadi.'

Lalu, Rasulullah S.A.W membaca ayat 114 surah Hud yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang iaitu pagi dan petang dan pada waktu permulaan malam iaitu Maghrib dan Isyak. Sesungguhnya, amal-amal kebajikan terutama solat menghapuskan kejahatan. Perinta-perintah Allah tersebut menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat."
(Riwayat Ahmad)
Hadis ini bertaraf sahih li ghairih.
Dipetik dari kitab Syeikh Latif al-Rahman al-Bahra'jiy iaitu Kitab Tahqiq al-Maqal fi Takhrij Ahadith Fadha'il al-A'mal.
Daripada hadis di atas, apa yang kita boleh simpulkan. 
Banyak perkara yang boleh dipelajari.
Antara berikutnya:
1. Menyampaikan Ilmu
Betapa kasihnya para sahabat  kepada Baginda S.A.W. Setiap detik dan waktu mereka dapat berdamping dengan Baginda. Ini merupakan detik-detik yang sangat dihargai dan terpahat segar di hati mereka. Malah, dalam setiap peluang yang ada mereka akan menyampaikan apa-apa yang diperoleh kepada orang lain dengan penuh rasa cinta.
MasyaAllah. Hebat sungguh cinta mereka pada Nabi Muhammad S.A.W.
2.Perbicaraan yang Bermanfaat
Rasulullah S.A.W dan para sahabat telah menunjukkan satu piawaian yang patut diiukuti dalam kehidupan seharian kita. Daripada cerita yang saya tulis di atas, Lihat! Walaupun hanya duduk bersantai di bawah pokok, namun perbicaraan mereka amat bermanfaat. Perbualan mereka mampu mendorong antara satu sama lain untuk semakin hampir dengan Allah, hubungan hati semakin erat dengan Allah dan diri berasa semakin dekat dengan akhirat. Fikirkan! Perbualan antara Abu Uthman dengan Salman al-Farisi bukan hanya berlaku di masjid atau majlis ilmu, tetapi hanya di bawah sepohon pokok.
Subhannallah. Tabarakallah.
Berbeza sekali dengan perbualan kita pada hari ini. Berbeza sama sekali. Kita hanya berbicara soal dunia. soal rumah, pakaian mahal, melancong dan sebagainya.
Allahu Rabbi!
3.Diampunkan Dosa.
Hadis ini memberi khabar gembira berkenaan rahmat Allah S.W.T amat besar untuk umat ini. Tawaran agar dosa-dosa diampunkan dibuka seluas-luasnya. Siapakah antara kita yang bersih dari khilaf dan dosa?
Sedar atau tidak, setiap detik kita bergelumang dengan dosa serta khilaf.
Renung-renungkanlah.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa kesungguhan seseorang menjaga solat fardhu lima waktu dapat mengampunkan dosa-dosa kita.
Akhir Kata.

Semai cinta Ilahi
Dengan solat seikhlas hati
Pasti bahagia di akhirat nanti.

Written by AmrQamar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan