Jumaat, 26 Disember 2014

Usrah - Wanita Solehah Itu Idaman Mujahidin

 
 
 



USRAH NOTES :
WANITA SOLEHAH ITU IDAMAN MUJAHIDIN


BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM




  PERTAMA.
 
 


KE DUA




KE TIGA




KE EMPAT




KE LIMA




KE ENAM



KE TUJUH



 KE LAPAN
USRAH TAMAT
 
 




Khamis, 11 Disember 2014

Bersyukurlah Saat Susah dan Senang





"Keranaku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sis-Mu
Sering kali terlupa nikmat-Mu
Datang tiada jemu
Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut nama-Mu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur.."

                                            (petikan lagu Erti Syukur, UNIC)


Berapa kali kita semua melihat diri sendiri di cermin dalam sehari? Tentunya lebih daripada sekali. Apa yang kita perhatikan ketika berada di hadapan cermin selain ingin melihat kekemasan diri? Pernah tak kita menangis atau memuji Allah di hadapan cermin kerana bersyukur dengan segala anggota tubuh hanya yang Allah berikan? Kalau ada pun mungkin hanya sedikit yang bersyukur seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amat sedikir kamu bersyukur. 
[Surah al-Sajadah: 9]


Allah SWT Maha Kaya dalam setiap pemberian kepada hamba-hambaNya. Allah SWT tidak berhajat,
tetapi kita yang benar-benar berhajar pada pertolongan Allah. Jika hendak disebut satu persatu
nikmat yang dipinjamkan kepada kita, pasti tidak terkira kerana terlalu banyak. 
Sebahagian daripada nikmat itu bersifat tersembunyi kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar
manusia seperti nikmat kelapangan masa, nikmat berfikir, nikmat ingatan atau kepandaian,
ketenangan jiwa dan pelbagai lagi. Tetapi sayangnya, manusia tidak perasan dan sering 
kali terlupa.

Mari kita renungi perkaitan yang cukup mudah. Apabila kita dibantu oleh orang lain, kita mengungkapkan dua patah kata iaitu terima kasih. Berterima kasih kepada orang yang menolong kita sebenarnya sama seperti bersyukur kepada Allah kerana Allah jualah yang membuka hati orang itu untuk menolong kita. Jika kita sukar mengucapkan terima kasih, hakikatnya kita tidak bersyukur dengan Allah SWT.

Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah SWT, kerana sudah memberi peringatan kepada kita 
menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras..'
[Surah Ibrahim:7]


Bayangkan kaki yang boleh berjalan tetiba patah kerana mengalami kecederaan, mata yang boleh melihat
tiba-tiba jadi buta, mulut yang boleh bercakap tiba-tiba menjadi bisu, badan yang selama ini sihat untuk bergerak tiba-tiba terlantar sakit. Apabila tiba masa Allah Taala ingin mengambil semula nikmat tersebut, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya. Allah SWT berhak memberi nikmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Begitu juga berhak menarik kembali nikmat-Nya pada sesiapa dan bila-bila masa yang dikehendaki.

Kerana itulah kita harus bersyukur dalam hati dan menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah dengan mengucapkan ALHAMDULILLAH dan melaksanakan perintah-Nya. 


Sering kali kita menganggap bahawa nikmat itu seperti kekayaan, pangkat, kejayaan 
dalam peperiksaan dan sebagainya. Mungkin kita terlupa ataupun tidak perasan apabila Allah sudah 
menghindarkan kita daripada suatu musibah yang asalnya akan menimpa kita. 
Yang kita nampak, apabila tidak ada yang bertambah pada diri kita, kita bersedih atas kekurangan 
tersebut. Tetapi bukankah terhindar daripada musibah juga suatu nikmat yang besar? 

Bersyukurlah saat susah dan senang kerana hakikatnya Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya berada dalam kepayahan selama-lamanya.. 



Wallahu'alam..


UPDATED BY: AMIRUL IKMAL (TTMS)

BERSYUKUR ATAS NIKMAT






Bayangkan, betapa banyak nikmat yang Allah SWT berikan dalam hidup kita di dunia ini. Antara nikmat yang paling jelas kelihatan seperti nikmat penglihatan pada mata, pendengaran pada telinga, pernafasan pada hidung dan percakapan pada mata.

Andainya kita tiada semua itu, bagaimana mungkin untuk kita hidup dengan sempurna.

Sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang diberikan, maka kita perlu bertakwa kepada Allah SWT dengan melakukan beberapa perkara dalam hidup kita:


1. Melaksanakan tuntutan Allah SWT.

2. Menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang menjauhkan diri daripada Allah SWT.

3. Meninggalkan segala hasrat jiwa yang berlawanan dengan fitrah manusia dan menentang dorongan hawa nafsu.

4. Memelihara dan melaksanakan tatacara kehidupan menurut syariat Islam.

5. Mencontohi Rasulullah SAW dalam ucapan dan perbuatan Baginda.

Wallahua'lam :) 

Ahad, 16 November 2014

Takdir & Usaha


Bismillahirrahmanirrahim. Pada entri kali ini saya akan berkongsi sedikit sebanyak tentang tajuk Takdir & Usaha. Moga bermanfaat! 


Usaha kemudian Tawakkal kepada Allah


Terdapat sebilangan orang Islam yang terkeliru tentang konsep takdir (Qada’ dan Qadar), yang mana mereka beranggapan takdir mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi dan dengan itu tidak perlu berusaha.
Hakikatnya, setiap manusia tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar kerana semua perkara ditentukan oleh Allah tetapi manusia diberi pilihan-pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.

Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada seorang Badwi yang meninggalkan untanya tanpa ditambat, “Mengapa kamu tidak menambat unta kamu?”
Orang Badwi itu menjawab, “Aku serahkan takdir dan bertawakkal kepada Allah s.w.t ”
Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya menjawab, “Ikatkan dahulu unta itu, kemudian barulah bertawakkal”.
Sesungguhnya umat Islam perlu percaya pada Qada’ dan Qadar Allah, dan perlu berusaha demi mengelakkan malapetaka atau mengurangkan risiko menanggung kerugian, dalam kes di atas, mengurangkan kebarangkalian hilangnya unta, barulah kemudian bertawakkal kepada Allah dan redha akan ketentuanNya.
Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡSesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib/keadaaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra’d: 11)

Doa

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Al-Mukmin: 60)
Sabda Rasulullah s.a.w :

(لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِر(-الترمذي-

“Tidak ada yang boleh mengubah takdir Allah kecuali doa.”
Ayat ini dapat difahami lebih mendalam bahawa doa disyariatkan dalam Islam pada dasarnya untuk mengubah nasib seseorang, sebab apalah gunanya seseorang berdoa kalau dia tidak mengharap perubahan daripada Allah. Baik perubahan umur dengan dipanjangkan umurnya, atau mengharap rezeki dengan meminta ditambahkan rezekinya.


Ajal dan Silaturrahim

Firman Allah Ta’ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajal, tidak dapat mereka lambatkan walau sesaatpun dan tidak dapat pula dapat mereka percepatkan. (Al-A’raaf: 34)

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Siapa saja yang ingin dimudahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah menyambung silaturrahim. (Riwayat Bukhari)

Kalau dicermati dan direnungkan, perlu diketahui takdir yang diberi kepada setiap insan itu bukan hanya satu takdir, bahkan ada beberapa takdir.
Contohnya, Allah menentukan ajal si fulan untuk hidup selama 60 tahun, di samping itu juga Allah bagi takdir lain untuk hidup sampai 70 tahun lamanya.

Sesuai dengan hadis di atas, kalau si fulan menyambung silaturrahim maka takdir kedua akan dia capai, tapi kalau tidak maka dia akan diberi takdir yang pertama, iaitu akan hidup hanya sampai 60 tahun saja.
Dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitab “Fathu al-Baari”, beliau menerangkan bahawa sesungguhnya hadith dan ayat “Ta’jil” boleh digabungkan bersama, iaitu dengan memahaminya kepada dua bahagian.

Pertama: Maksud penambahan adalah Allah menambahkan keberkatan hidup bagi seorang mu’min yang menjalin silaturrahim.
Kedua: Hakikatnya adalah penambahan umur, di mana seseorang yang menjalin dan menyambung silaturrahim akan ditambahkan umurnya secara angka.
Beliaupun memberikan contoh umur, misalnya, umur seseorang ditentukan Allah antara enam puluh tahun dan seratus tahun, takdir pertama (60 tahun) dinamakan sebagai Qadha’ Mubram, sementara takdir kedua (100 tahun) adalah Qadha’ Mu’allaq.

 

 Wabak Penyakit


Dalam satu riwayat juga disebutkan bahwa tatkala Umar bin Khattab r.a. dan rombongannya melakukan perjalanan ke suatu tempat di Syria, beliau tiba-tiba dikhabarkan bahawa tempat yang dituju sedang dilanda penyakit wabak, kemudian Umar r.a. bermusyawarah dengan rombongan untuk mencari jalan keluar, lantas Umar r.a. dan rombongan sepakat untuk membatalkan perjalanan tersebut dan kembali ke Madinah, kemudian salah seorang sahabat yang bernama Abu Ubaidah tiba-tiba memprotes keputusan Umar yang tidak ingin melanjutkan perjalanan.
 فَقَالَ أَبُو عُبَيْدَة بْن الْجَرَّاحِ: أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ؟ فَقَالَ عُمَرُ: لَوْ غَيْرُكَ قَالَهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ – وَكَانَ عُمَرُ يَكْرَهُ خِلاَفَهُ – نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ
Abu Ubaidah bin al-Jarrah berkata “Apakah kita hendak lari menghindari takdir Allah?”
Umar r.a. menjawab: “Benar, kita menghindari suatu takdir Allah dan menuju takdir Allah yang lain”
.

Taqwa dan Tawakkal


Firman Allah Ta’ala:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا ٢ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq: 2-3)

Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam !
Corakkan kehidupan dengan nilai-nilai Islam.
Bersama usaha ke arah kemenangan Islam.

Sekian, Wallahutaala'alam :)

Rujukan: www.iluvislam.com 

Masa.

 Bismillah. Assalamualaikum. Allahumma solli ala Sayyidina Muhammad.
 
 


 Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya ialah dengan menghargai masa! Masa hakikatnya nyawa kita. Membazirkan masa seperti membuang nyawa sendiri.

 Kehidupan ini terlalu singkat namun sangat mahal untuk dosa & perkara yang sia-sia. Manusia diciptakan untuk beribadah. Bahkan jika seluruh masa ini dihabiskan dalam ketaatan sekalipun, manusia masih tidak mampu membalas semua kebaikan al-Rahman. Apatah lagi kalau banyak masa yang dibuang sia-sia!

Mereka yang mensia-siakan masa ialah orang yang bankrap dalam perniagaannya dengan Allah SWT. Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Ingat, musuh perkara yang 'lebih' penting ialah perkara yang penting.

Maka di tengah-tengah kekalutan & keserabutan kita yang 'kononnya' terlalu sibuk, cuba berhenti sejenak. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sibukkan? Bimbang, kesibukan kita ialah suatu deraan yang kita cipta sendiri kerana membelakangkan cinta Allah SWT.

Cari semula pangkal jalan, tujuan hidup. Tanyakan pada diri semula, "Apa yang aku cari dalam hidup yang singkat ini?" Alhamdulillah, jika sudah nampak semula cahaya arah, tujulah kembali tanpa berlengah.

Imam al-Syafi'e pernah berkata: "Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi yang lebih aneh ialah manusia yang melengah-lengahkannya."

Kadang kala "Jemputan ke arah kebaikan" singgah secara tiba-tiba. Amat rugi jika kita mengabai 'Jemputan' tersebut. Kutiplah titipan kasih daripada Allah SWT apabila suara hati kita tiba-tiba berbisik: "Sampai bila aku harus begini?"

Kata hukama: "Apabila seseorang didatangi rasa hati begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Allah SWT untuk datang ke arah kebaikan!". InsyaAllah :')




Ila Aina.

Rabu, 22 Oktober 2014

Rahsia Di Tabir Al-Fatihah


Bismillahirrahmanirrahim.

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi satu tajuk yang menarik yang bertajuk Rahsia Di Tabir Al-Fatihah :)
 
Entri ini dipetik dan diubahsuai dari Majalah Gen-Q isu 38.
 
 
"Sebaik sahaja mengangkat takbir, segala keluh-kesah dunia hilang. 
Kalau tidak, terasa dunia ini sangat sempit ibarat penjara. 
Tapi, sebaik diri 'berhadapan' dengan-Nya, jiwa ni rasa terus lapang"
    ~Demikian kata Aizuddin kepada Umar.

 "Betul. Bila perasaan khusyuk datang, diri ni terasa kerdil sangat di sisi-Nya.
Seolah-olah Dia sedang perhatikan kita. 
Lebih-lebih lagi bila baca Al-Fatihah, diri terasa seperti sedang 'berbicara' dengan-
Nya.  
 ~Umar membalas terhadap Aizuddin.
 
 
 
 
Indahnya hidup sebagai Muslim yang sentiasa dapat bertemu dengan Penciptanya hari-hari.
Bagaimana kita ingin merasai semua ini?


A-Z Solat
   Caranya adalah dengan mengenali dan memahami setiap selok-belok solat
dari A hingga Z tenangnya:
a. Makna bacaan. Ia perlu difahami bukan sahaja dengan
akal, tetapi juga hati.
b.Syarat-syarat sah dan rukun-rukun solat.
c. Hikmah disebalik perlakuan bermula daripada takbiratulihram
hingga salam.

Andai ketiga-tiga ini dapat dikuasai dengan baik dan mampu 'dibawa' dalam solat,
InsyaAllah kita akan merasai kerehatan dan kemanisan 'bertemu' dengan Allah lima
kali sehari.
Bahkan, kita pula terasa seronok dan tertunggu-tunggu waktu solat.



Magis Al-Fatihah
 
Uniknya surah ini, Allah telah menyimpulkan kandungan al-Quran pada lima perkara utama:
1. Pengetahuan
2. Tindakan
3. Kejayaan
4. Kemurkaan
5. Kesesatan
 
1. Pengetahuan
  - Ini proses kita mengetahui siapa Dia. Daripada tahu siapa Dia akan membuatkan kita akan kenal siapa
     kita di sisi-Nya.
 
2. Tindakan
  - Tindakan ini sebagai manifestasi hubungan kita dengan-Nya. Selepas melalui dua fasa ini, ia menjadi
     penentu pilihan destinasi trek kehidupan selepas itu. 
 
3. Kejayaan
  Formula: Pengetahuan yg benar + tindakan yg tepat = Berjaya di dunia dan akhirat
  (insyaAllah)
 
4. Kemurkaan
   Formula: Pengetahuan yg benar - tanpa melakukan apa2 tindakan = Mengundang kemurkaan
   Allah. (Na'uzubillah)
 
5. Kesesatan
  Tanpa pengetahuan yg benar, tetapi bertindak dgn tindakan yg gelojoh = Kesesatan yg nyata.
  (Na'uzubillah)
 
Sengaja, Terlupa & Tak Mampu
 
Demikianlah peranan Al-Fatihah yang begitu istimewa. Sebab itulah membacanya dalam solat pada setiap rakaat merupakan rukun solat. Ia formaliti pembuka sesi menghadap Allah.
Meninggalkan secara sengaja bermakna solat yang dikerjakan terbatal. Manakala yang terlupa meninggalkannya wajib untuk mengulangi berdiri dan menyempurnakan bacaan al-Fatihah itu semula. 
 
Hal ini dipersetujui oleh majoriti mazhab. Terdapat banyak hadis yang membuktikan kewajipan tesebut. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sah solat bagi mereka yang tidak membaca al-Fatihah." (HR Bukhari dan Muslim)
Biarpun begitu, menurut kitab al-Mughni al-Muhtaj dalam sesetangah keadaan bagi sesiapa yang tidak mampu membacanya, maka dibolehkan membaca mana-mana ayat daripada al-Quran yang diingati. Hal ini berdalilkan pada surah al-Muzammil ayat 20.
 
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
 
 
Jom Relaks Dengan Solat
 
Apabila Rasulullah SAW menyuruh Sayidina Bilal r.a mengumandangkan azan, Baginda akan berkata:
"Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat." (Riwayat Ahmad)
 
     Inilah nilai solat di mata Rasulullah. Solat itu merehatkan dan menenangkan, bahkan solat itu tempat kita mencari kekuatan dengan bantuan Allah. Tika Rasulullah menghadapi saat kesukaran, Baginda memilih untuk merehatkan diri dengan solat. 
Diriwayatkan oleh Huzaifah:
"Apabila Rasulullah SAW mengalami sesuatu kesulitan, Baginda akan segera mengerjakan solat." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
 
 
 
     Ketenangan dan kerehatan itulah kekuatan dalam menghadapi cabaran hidup. Kita menghadapi ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati yang tenang tidak mudah untuk putus asa,kecewa,marah dengan kegagalan dan kekurangan dalam kehidupan. :)
  Sebab itulah awal-awal lagi Allah SWT memberi penyelesaian kepada manusia tentang masalah dunia ini:
     "Dan pintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat." (Al-Baqarah:45)
 
Sebagai penutup, sama-sama kita hayati Firman Allah SWT dalam Surah Taha ayat 14 yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu"

Sekian. Yang baik dtg dari Allah, yg kurang dtg dari diri yg serba lemah ini.
Wallahu'alam :)

Jumaat, 17 Oktober 2014

Cantik Manusia Pada Akhlak



Bismillahirrahmanirrahim

Ya Allah Ya Ilahi
Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta,
berfikir sebelum bertindak,
santun dalam berbicara,
tenang ketika gundah,
diam ketika emosi melanda,
bersabar dalam setiap ujian.
Jadikanlah kami orang yang selembut Abu Bakar As-Siddiq,
sebijaksana Umar bin Khattab,
sedermawan Uthman bin Affan,
sepintar Ali bin Abi Thalib,
sesederhana Bilal & setegar Khalid bin Walid r.a,
Amiin ya Rabbal'alamin..
Firman Allah SWT: " Dan sesungguhnya engkau benar-benar berada di kemuncak akhlak yang agung." 
[Al-Qalam 68:4]

Menurut Ibn athiyyah dalam tafsirnya bahawa Aisyah r.ha pernah menyifatkan Rasulullah SAW ialah al-Quran. (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat merendah diri dan sering berdoa agar dihiaskan dengan akhlak yang baik. Lalu Allah SWT mendidik akhlak Baginda SAW melalui al-Quran.
Apabila didikan daripada al-Quran telah sempurna, maka Allah menurunkan ayat ini bagi memuji keagungan akhlak Nabi SAW. 
Melalui ayat ini, Allah SWT sebenarnya mahu menarik perhatian kita pada akhlak Baginda SAW yang ternyata sangat luhur dan mempunyai keistimewaan rohaniah yang sangat tinggi. 
Malah ia menunjukkan bahawa akhlak Nabi SAW bertunjangkan Ilahiyat Quraniah iaitulah sifat yang mencerminkan keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kerana itu, Allah SWT mengkehendaki kita agar mengkaji dan mengamalkan akhlak Baginda SAW yang menjadi contoh kepada kehidupan ini. 
Pemimpin Generasi Al-Quran
Dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan akhlak Baginda dengan menggunakan perkataan 'ala
 ( على)  iaitu berada di kemuncak kesempurnaan peribadi dan kesolehan.
    Bukan itu sahaja , malah Baginda SAW memimpin generasi yang unik itu untuk menjadi Safwatus Safwah iaitu mengangkat mereka daripada kehidupan yang bernadikan persengketaan dan kejahatan kepada menjadi pemimpin yang disayangi dan ditaati di Timur dan Barat. 
Maka tidak hairanlah dengan akhlak Qurani yang Baginda miliki, ia membentuk satu cerminan yang sempurna hingga mampu melahirkan generasi Al-Quran yang sangat cemerlang.
 
  













Dalaman Baik, Akhlak Pun Cantik
Berapa ramai yang yang mengaku mengamalkan tasawwuf tetapi lidahnya tidak pernah kering daripada mengumpat dan memfitnah. Berapa ramai yang berpakaian bak orang baik tetapi akhlaknya terhadap orang Islam yang lain laksana senjata berbisa tanpa rahmat dan belas kasihan. 
Ternyata penampilan fizikal itu belum lagi sebati dengan isi hati. Sikap ini samalah dengan zahir yang rapuh seperti kristal - mudah pecah apabila terjatuh.
Ringkasnya, mencontohi Nabi SAW janganlah terbatas pada zahir yang kelihatan anggun, tetapi mestilah dikaji intinya iaitu penjagaan dalaman kerana itulah nilai jati diri hamba yang memiliki akhlak yang murni.
   

--------------
Dipetik dan diubahsuai daripada Majalah Gen-Q isu 38| Kolum Wahyu Ilahi - Ust Zahazan Mohamed.

p/s: Mari kita sama-sama mencontohi, menteladani dan mempraktikkan akhlak baginda Rasulullah agar menjadi manusia yang berakhlak mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.. ^^
Wallahu'alam..

Updated by: Al-Faqir Amirul Ikmal (TTI3) | Jumaat,17/10/14 | 22 Zulhijjah 1435

Isnin, 18 Ogos 2014

Tentang Isu Niqab Dijawab Oleh Syeikh Nazul Nasir

Berkata Syeikh Nazrul Nasir


Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.


1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:
عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.


Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.
KESIMPULAN


Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah. 

Wallahu a’lam


Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Mohd Nazrul Abd Nasir
Rumah Kedah Hayyu 10,

http://nazrulnasir.blogspot.sg/2009/04/perbahasan-berkenaan-niqabpurdah.html

Cara Memakai Cincin Mengikut Sunnah





Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :

1.    Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?

2.    Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?

3.    Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?

4.    Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?

5.    Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.

JAWAPAN

BERAT CINCIN

1.    Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.

2.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah  3.125 gram ×  2 = 6.25 gram

3.    Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.

4.    Para ulama Hanabilah  pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal.  Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.

LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN

EMAS

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.

2.    Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

PERAK

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .

2.    Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.

3.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.

4.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
 
5.    Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.

SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

1.    Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.

2.    Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.

3.    Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.

4.    Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.

Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya

HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN

1.    Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.

2.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.

3.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.

4.    Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.

 

BENTUK CINCIN RASULULLAH

1.    Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.

2.    Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb  
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
 
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

1.    Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.

2.    Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.

3.    Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.

4.    Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.

5.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.



KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?

1.    Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN :

1.    Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2.    Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982



Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah & Bonda di Pedu,
Kedah, Malaysia

http://nazrulnasir.blogspot.sg/search?updated-max=2011-04-17T17:15:00%2B02:00&max-results=3

Kisah Seorang Raja Yang Menguji Sang Abid Dan Al Alim




Kisah Oleh
 Syaikhuna al-Allamah al-Hafidz Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba’ith al-Kittani al-Syafie hafizahullah

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang raja yang sangat bijak. Raja tersebut ingin mengajarkan kepada rakyat jelata suatu perkara yang sangat penting. Mungkin pada waktu itu masyarakat tidak dapat membezakan mana satu golongan alim dan mana satu golongan abid ( yang hanya beribadah tanpa ilmu) .

Maka raja memanggil seorang alim dan seorang abid yang tiada ilmu bagi membuktikan bahawa antara kedua-dua golongan ini pasti terdapat perbezaan yang jelas.

Raja menyuruh kedua-dua orang ini masuk ke dalam bilik yang berbeza. Setiap bilik diletakkan perkara yang sama iaitu diletakkan sebilah pisau, sebotol arak dan seorang wanita. Sang Raja juga mengarahkan kepada kedua-dua orang tersebut untuk melaksanakan salah satu daripada tiga perkara iaitu sama ada meminum arak, atau berzina dengan wanita tersebut atau mengambil pisau yang disediakan lalu membunuh wanita tersebut bagi mengelakkan daripada melakukan dosa zina.

Bilamana dimasukkan si alim dan si abid di dalam bilik masing-masing yang sudah tersedia di dalamnya ketiga-tiga perkara tersebut. Maka kedua-duanya sebaik sahaja berhadapan dengan ketiga-tiga perkara yang diarahkan oleh Sang Raja melaksanakan salah satu daripadanya, masing-masing punya pemikiran dan cara penyelesaian yang berbeza.

Bagaimana Sang Alim dan Sang Abid ini menyelesaikannya? Saya akan ceritakan satu persatu mengikut turutan. Kita lihat dahulu apa yang difikirkan oleh Sang Abid dan bagaimana dia menyelesaikan masalah tersebut.


SANG ABID DAN PENYELESAIANNYA

Sebaik sahaja masuk di dalam bilik tersebut, Sang abid melihat ketiga-tiga perkara telah berada di hadapannya. Sebilah pisau, sebotol arak dan seorang wanita cantik. Maka terlintas di dalam fikiran sang abid bahawa ketiga-tiga ini adalah dosa . Mengambil pisau dan menggunakan pisau tersebut untuk membunuh wanita cantik tersebut bagi mengelakkan zina adalah merupakan dosa yang besar. Berzina dengan wanita tersebut juga merupakan dosa yang besar. Perkara yang paling ringan sedikit berbanding membunuh dan berzina adalah minum arak. Maka , sang abid yang yakin dengan jalan penyelesaiannya terus mengambil botol arak dan meneguk isinya .

Apa yang berlaku seterusnya? Sebaik sang abid tersebut selesai minum arak, dia terus mabuk dan di dalam keadaan tersebut , dia menghampiri wanita cantik itu lalu mengajaknya bersetubuh dan akhirnya mereka berzina . Sebaik selesai berzina, sang abid sedar akan kesalahan yang dilakukannya . Bagi mengelakkan si wanita membongkarkan rahsianya, maka dia terus mengambil pisau dan membunuh wanita tersebut.

Maka , secara tidak sedar , Sang Abid telah melakukan ketiga-tiga perkara dosa tersebut secara sekaligus.

Bagaimana pula keadaan Sang Alim di bilik yang lain? Bagaimanakah dia menyelesaikannya?

Kita akan melihat pula bagaimanakah cara penyelesaian dan pemikiran Sang Alim tersebut.


SANG ALIM DAN PENYELESAIANNYA

Sebaik sahaja sang alim tersebut masuk ke dalam bilik itu, beliau tersentak dengan kewujudan ketiga-tiga perkara tersebut. Sang Raja telah mengarahkan agar melaksanakan salah satu daripada tiga perkara itu.

Sang Alim berfikir, “ Jika aku mengambil pisau dan membunuh wanita itu maka aku telah melakukan dosa membunuh. Membunuh adalah dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku berzina dengan wanita tersebut juga ianya merupakan dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku mengambil arak dan meminumnya maka itu juga merupakan dosa yang besar. Jadi bagaimanakah cara yang terbaik untuk aku laksanakan?”

Sang Alim terfikir lagi , “ Jika aku meminum arak, akalku akan hilang dan kemungkinan aku akan laksanakan perkara yang aku tidak fikirkan. Maka jalan yang terbaik pada waktu sekarang adalah dengan aku mengambil pandangan di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu yang membenarkan seorang wanita tersebut mengahwinkan dirinya sendiri tanpa kewujudan dan persetujuan walinya”

Maka sang alim terus pergi kepada wanita tersebut dan mengatakan kepadanya : “ Wahai wanita, sudikah kamu berkahwin denganku?

Wanita tersebut bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh Sang Alim tersebut. Maka sang alim tersebut melafazkan lafaz nikah dan sang wanita bersetuju dan menerimanya. Maka secara hukumnya mereka telah berkahwin mengikut pendapat di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah rahimahullah.

Secara tidak langsung, sang alim telah menjauhkan dirinya daripada kesemua dosa tersebut. Beliau tidak membunuh, tidak minum arak dan berzina. Malah beliau mendapatkan perkara yang lebih besar daripada itu iaitu dengan berkahwin dengan wanita cantik tersebut.

Selesai perkara tersebut, Sang Raja tersenyum kerana akhirnya beliau dapat membuktikan tetap ilmu itu lebih mulia daripada segalanya. Tanpa ilmu seseorang itu akan tersilap melakukan penilaian yang terbaik.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Wangsa Maju, Selangor Darul Ehsan,
Malaysia

http://nazrulnasir.blogspot.sg/search/label/Dakwah%20dan%20Perjuangan