Memaparkan catatan dengan label Bab Mati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bab Mati. Papar semua catatan

Khamis, 23 Januari 2014

Gangguan syaitan ketika sakratul maut



Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.
Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat.
Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi).
Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan,
berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”

Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali.
Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”
Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu patuh kepada kami.”
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya.
Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”



Rabu, 8 Januari 2014

19 Tanda Kematian Orang Beriman

Assalamualaikum ana nak berkongsi tentang
19 tanda kematian org beriman..

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian
sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha
illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)

Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh
berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib r.a
(bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya
yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat
maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: (Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis
Sahih)

Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat
atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang Muslim
yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah
melindunginya daripada seksa kubur).

Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya:
(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di
jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka
bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi
khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang
janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan
kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan
balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)
Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam perkara:
Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya
dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan
yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan
bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota
keluarganya.”

Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh)
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai syahid
antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah
maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ).
Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang
siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak
taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang
yang tenggelam syahid).”

Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis
antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi
setiap Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di
atas.

Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana teng gelam dan terkena
runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima:
yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang
terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan
melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w
menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat
tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka
berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi
sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati
kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik
oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).

Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak
panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang
terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’:
(Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak
tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang
panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar
syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah
melahirkan syahid).

Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang
mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang
tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit
perut syahid). (Hadis Hasan)

Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang
hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana
hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan
alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia
syahid).

Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama
dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang
terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana
keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid,
barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).

Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan
qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan
yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari
fitnah).

Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha
illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia
masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu
wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang
bersedekah dengan satu sedekah meng harapkan wajah Allah lalu wafat ketika
mengerjakannya maka dia masuk syurga).

Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana
memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
(Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang
mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang
dari yang mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan
disahihkannya dan Al Khatib.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin
Ya Rabbal ‘aalamin

Credit by Irfan Hakim..


Selasa, 24 Disember 2013

1000 tahun dalam kubur






Awan sedikit mendung ketika kaki kecil Yani berlari-lari gembira di atas jalanan menyeberangi kawasan untuk ke tanah perkuburan. Baju merahnya yang besar melambai-lambai di tiup angin. Tangan kanannya memegang ais krim sambil sesekali mengangkatnya ke mulut untuk dijamahi. Sementara tangan kirinya digenggam erat oleh ayahnya.
Yani dan ayahnya memasuki kawasan tanah perkuburan menuju ke pusara neneknya. Kemudian mereka duduk di atas tembok nisan yang bercatatan;
Hjh Aisyah Binti Marlia 19-10-1915 : 20-01-1965
“Nak, ini pusara nenekmu. Mari sayang… kita berdoa untuk nenek.”
Yani melihat wajah ayahnya, lalu meniru gaya tangan ayahnya yang diangkat ke atas dan dia ikut memejamkan mata seperti ayahnya. Dia khusyuk mendengar ayahnya berdoa walaupun dia masih belum mampu memahami sepenuhnya setiap baris doa yang dititipkan.

“Ayah, nenek meninggal semasa umur 50 tahun ya?”alt
Ayahnya mengangguk dan tersenyum sambil memandang pusara ibunya.
“Hmm, bererti nenek sudah meninggal 48 tahun ya, Yah?” Kata Yani sambil lagak matanya mengira dan jarinya menghitung.
“Ya, nenekmu sudah di dalam kubur selama 48 tahun sayang… “
Yani menoleh kepalanya dan memandang sekelilingnya. Banyak pusara di sana . Di samping pusara neneknya terdapat pusara tua yang sudah berlumut.
Muhammad Zaini 19-02-1882 : 31-01-1910
“Hmm.. Kalau yang itu sudah meninggal 103 tahun yang lalu ya Yah?” jarinya menunjuk nisan bersebelahan pusara neneknya itu.
Sekali lagi ayahnya mengangguk dan tangannya mengusap kepala anak tunggalnya itu.
“Ya nak. Benar katamu sayang. Mengapa?” tanya si ayah sambil menatap mata anaknya yang redup.
“Hmmm, semalam ayah beritahu jika kita meninggal dan banyak dosa. Kita akan diseksa di kubur. Iya kan yah?” kata Yani sambil meminta persetujuan ayahnya.
Ayahnya tersenyum dan menggangguk.
“Benar, lalu?” tanya si ayah meminta penerangan si anak.
“Iya… kalau nenek banyak dosanya, bererti nenek sudah diseksa 48 tahun di kubur ya ayah? Kalau nenek banyak pahalanya, bererti sudah 48 tahun nenek bahagia dikubur. Betul tak ayah?” Mata Yani bersinar ingin tahu.
Ayahnya tersenyum, namun sekilas menampakkan keningnya yang berkerut dan perasaannya yang cemas.
“Iya nak, kamu pintar sayang,” kata ayahnya pendek.
Pulang dari tanah perkuburan, ayah Yani kelihatan gelisah di atas sejadahnya. Dia memikirkan perkara yang telah diperkatakan oleh anak kesayangannya tadi.
“… 48 tahun hingga sekarang… kalau kiamat datang 100 tahun lagi…148 tahun diseksa .. atau bahagia dikubur?” Dia bermonolog sendirian.
Lalu dia tertunduk dan menitiskan air mata.
“Kalau dia meninggal dan banyak dosanya – kiamat masih 1000 tahun lagi, bererti dia akan diseksa 1048 tahun?..’Innalillaahi wa inna ilaihi rooji’un’… “
Air matanya semakin banyak menitis, sanggupkah dia diseksa selama itu.
“Itu kalau benar kiamat lagi 1000 tahun tetapi kalau 2000 tahun lagi? Kalau 3000 tahun lagi? Selama itukah  dia akan diseksa di kubur? Mampukah dia bertahan dengan tiap seksaan? Padahal melihat adegan pukul di salah satu rancangan televisyen pun dia sudah tidak tahan untuk melihatnya?” Jiwanya penuh dengan monolog.
“Ya Allah…”
Dia semakin menunduk. Tangannya diangkat dan air matanya semakin membanjiri pipinya.
“Allahumma as aluka khusnul khootimah.”
“Ya Allah, kurniakanlah aku pengakhiran kehidupan yang baik.”
Berulang kali dibacanya doa itu sehingga suaranya serak dan terhenti sejenak apabila terdengar batuk Yani. Dihampirinya anak kesayangannya yang sudah terlena dan membetulkan selimutnya.
Yani terus tertidur tanpa mengetahui betapa ayahnya amat berterima kasih kepadanya kerana telah menyedarkannya erti sebuah kehidupan dan kehidupan hakiki yang akan datang di hadapannya.
“Ya Allah, letakkanlah dunia ditanganku, jangan Kau letakkan dihatiku…”

Jumaat, 20 Disember 2013

Hakikat Kembara Manusia ke 4 Alam

      


 

       Pengembaraan hidup manusia berpindah-randah dari satu alam ke satu alam yang lain. Setiap alam ini pula jauh berbeza antara satu sama lain. Perjalanan hidup manusia bermula dari Alam Roh. Kita tidak tahu di mana dan bagaimana alam itu, tetapi ia satu alam yng telah lama wujud sebelum wujudnya jasad manusia.




 ALAM ROH
Umumnya, manusia telah memulakan perjalanannya dari alam roh, namun manusia tidak mengetahui dan mengingati bagaimana keadaan dan suasananya. Malah, tidak dinyatakan secara jelas keadaan dan hakikat alam keccuali seperti yang difirmankan oleh Allah SWT daalam surah [Al Insan : 1] yang bermaksud :
"Bukanlah telah berlalu kepada manusia suatu ketika dari masa yang (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi satu perkara yang disebut sebut" 
Walaupun manusia tidak mengetahui tentang hakikat roh, apatah lagi mengetahui tentang alamnya, manusia diminta supaya meyakini dan mempervayai bahawa perkara roh itu adaalah urusan Allah SWT. Allah SWT menciptakan roh untuk setiap makhluk yang bernyawa sebelum mencipta dan membentuk jasadnya. Ini bermakna walaupun kita baru dilahirkan ke dunia, namun roh kita telah pun wujud lebih lama dahulu, hanya menunggu masa untuk dipindahkan dan ditiupkan ke dalam jasad ketika berada di alam rahim ibu.





ALAM RAHIM
Setelah roh ditiupkan, maka berlakulah perpindahan dari alam roh yang tidak diketahui di mana dan bagaimana, masuk ke alam baru yang disebut sebagai alam rahim. Suasana alam ini jauh berbeza dengan alam roh sebelumnya. Di alam rahim, manusia bergantung hidup sepenuhnya kepada ibu yang mengandungkannya selama tempoh sembilan bulan. Sepanjang tempoh tersebut manusia tidak perlu bekerja dan berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ia terus hidup dan membesar hinggalah saat ia perlu berpindah ke alam lain pula. Kelahiran merupakan perpindahan, iaitu dari alam rahim yang sempit dan gelap, disebut dengan kegelapan yang tiga, ke alam dunia yang luas dan terang. Allah SWT berfirman dalam surah [Az Zumar : 6] yang bermaksud :
 "ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat peringkat) dari suatu kejadian ke suatu kejadian dalam tiga suasana yang gelap gelita, yang demikian Dia adalah Allah Tuhan kamu, bagi-NYA kekuasaan yang mutlak, tiada Tuhan melainkan Dia, oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan"
Tiga kegelapan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah gelap kerana berada dalam tembuni yang tidak bercahaya. Tembuni itu pula berada di dalam rahim, manakala rahim pula berada dalam perut ibu. Ada pendapat lain mengatakan bahawa tiga kegelapan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialaah gelap terpejam, berada di dalam rahim yang gelap gelita dan gelap kerana tidak mengenali suatu apa pun.



ALAM DUNIA
Alam dunia merupakan tempat  persinggahan sementara dalam rangka pengembaraan manusia untuk menuju ke alam yang lain pula, iaitu alam akhirat. Kehidupan di alam dunia tidak sama dengan alam sebelumnya. Ketika di alam ini manusia perlu bekerja dan berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup dan untuk menentukan corak hidupnya di dunia dan hidup di alam berikutnya. Manusia juga perlu berusaha untuk untuk mengumpul secukup bekalan untuk menempuh alam yang bakal ditempuhi selepas ini. Ini kerana, pada alam berikutnya manusia tidak akan berpeluang lagi untuk bekerja dan berusaha bagi mengubah keadaan dirinya seperti mana ketika ia berada di alam dunia. Oleh itu, manusia perlu pandai seimbangkan hidup di dunia dan kepentingan di akhirat nanti kerana alam akhirat ialah alam yang menjadi penentuan sama ada kita akan beroleh bahagia atau derita, ianya adalah hasil daripada usaha yang kita lakukan semasa hidup di dunia. Dunia ini hanya ibarat sebidang tanah yang digunakan sebagai tempat bercucuk tanam, hasilnya akan dituaai di akhirat nanti.



Surah Al Mulk : 2


ALAM BARZAKH
Setelah hidup dalam jangka masa yang ditetapkan, akhirnya manusia  akan meninggalkan dunia di mana ianya adalah suatu perpindahan iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh iaitu alam kubur. Alam yang tidak memerlukan manusia untuk bekerja dan berusaha. Cuma cara hidupnya semasa di dunia akan mempengaruhi dan menentukancara hidupnya di alam barzakh sma ada bahagia atau celaka yakni derita dan setiap manusia akan menempuhnya secara bersendirian tidak lagi berkumpulan. Apakah ia akan beristirehat berpanjangan atau akan merasai azab dan kesakitan yang berterusan? Semua keadaan ini bergantung kepada persediaan kita semasa hidup di dunia. Dunia adalah penentu segala galanya. Oleh itu rebutlah peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini. Ingat! Hidup di dunia tidak akan berulang buat kali keduanya, maka gunakanlah kesempatan yang Allah bagi untuk menentukan corak hidup kita di alam berikutnya yang sama ada akan bahagia selamanya atau azab yang tidak tergambar kesakitannya. Allahu'alam.


"Perjalanan hidup ibarat sebuah kembara musafir yang merantau dari satu destinasi ke satu destinasi lain. Langkahnya mengikut hayunan kaki yang bergerak tanpa henti sehinggalah tiba ke tempat yang dituju. Kehidupan manusia juga boleh diumpamakan seperti seorang musafir, bezanya perjalanan dan langkah manusia ada arah yang hendak dituju, sedangkan dalam hidup ini terkadang tiada arah dan matlamatnya"

KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT
Sebuah pepatah Arab ada menyebut :
"Berusahalah kamu untuk dunia kamu seolah olah kamu akan hidup selama lamanya dan berusahalah untuk akhiratmu seolah olah kamu akan mati pada esok hari" 
Pepatah ini memberi gambaran bahawa kehidupan manusia di alam dunia tidak diketahui tempoh masanya. Maka dalam jangka  masa yang tidak diketahui inilah manusia seharusnya  menggunakan peluang yang ada dan memanfaatkan sebaiknya untuk menentukan corak hidupnya sama ada untuk dunianya mahupun untuk alam lain yang bakal ditempuhi.
Dalam mengharungi kehidupan di dunia, manusia dikurniakan akal dan nafsu. Melalui akal manusia boleh merancang dan melaksanakan kehendak serta keinginan nafsunya dalam menunaikan kewajipan terhadap dirinya sendiri. Kewajipan ini sama ada untuk memenuhi keperluan hidupnya ketika berada di dunia ini ataupun kepentingan dan kebaikan untuk dirinya setelah berpindah ke alam berikutnya nanti.



Seorang ukhty~










Tujuh Golongan Yang Akan Mendapat Naungan Allah SWT


Assalamualaikum 


Bismillahirahmanirahim 



 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

 

Sahabat yang dirahmati Allah,

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya :

 

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.

 

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

 

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

 

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

 

Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :

‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

 

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

 

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya."

 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Berdasarkan daripada hadis di atas , dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang beriman dan bertakwa akan mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT di hari akhirat nanti ketika itu tidak ada perlindungan lain yang akan dapat menyelamatkan manusia.

 

Golongan tersebut adalah seperti berikut :

 

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.

 

Seorang pemipin akan ditanya di akhirat nanti adakah mereka memimpin dengan adil, amanah ,jujur dan sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah.

 

Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak boleh di katakan adil selagimana seorang pemimpin itu tidak menggunakan neraca Islam dan neraca Allah SWT di dalam setiap keputusan dan perlaksanaan di dalam pemerentahannya. Tidak ada undang-undang dan peraturan yang lebih adil melainkan ianya datang dari Pencipta manusia dan alam semesta iaitu Allah SWT.

 

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

 

Pemuda (rijal) adalah golongan penting di dalam masyarakat Islam, kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang. Sesuatu umat akan menuju kepada kehancuran apabila pemuda-pemudinya telah rosak akidah dan akhlaknya , lemah daya pemikiran dan intelektualnya dan hilang semangat jihad. 

 

Pemuda yang menjadi ahli ibadah ini, yang terpilih mendapat naungan Allah adalah mereka yang hati dan jiwanya sentiasa mengingati Allah , kuat imannya dan baik akhlaknya dan sentiasa berterusan dan istiqamah dalam menjalani proses tarbiah dan dia juga berusaha mengajak pemuda lain untuk duduk dalam Jemaah Islam dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

 

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.

 

Mesjid adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran , berzikir , tempat majlis-majlis ilmu di jalankan dan tempat perhimpunan dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masaalah mereka. 

 

Para malaikat mendoakan dan mohon rahmat kepada Allah SWT. kepada ahli-ahli mesjid yang menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Di zaman Rasulullah SAW  mesjid berfungsi menjadi tempat semua urusan umat Islam (pusat pemerentahan, ibadah dan majlis ilmu).

 

Mereka-mereka yang terpaut hati dengan mesjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di akhirat nanti.

 

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

 

Apabila dua orang saudara muslim bertemu adalah semata-mata untuk mereka merapatkah rasa ukuwah dan kasih sayang, saling nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan merancang sesuatu atas tanggung jawab macamana cara-cara untuk menyelamatkan umat ini daripada hanyut di bawa arus jahiliyah dan terselamat daripada mendapat azab Allah SWT.

 

Bagaimana penyebaran Islam , kerja-kerja dakwah dan tarbiah dapat di jalankan dengan berkesan dan memenuhi sasarannya. Mereka berpisah adalah semata-mata kerana Allah di sebabkan masing-masing kembali ketempat asal mereka untuk memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiah , walaupaun berjauhan namun perasaan ukuwah dan kasih sayang tetap berterusan. 

 

Allah SWT. akan memberi pahala dan ganjaran yang besar apabila seluruh masa, tenaga dan wang ringgit di curahkan semata-mata untuk menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi. Di atas usaha-usaha yang berterusan seperti ini , bertemu dan berpisah kerana Allah SWT. memang sesuailah mereka mendapat naungan Allah SWT di akhirat nanti.

 

Dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan di dalam Kitab Al-Muwattha' Imam Malik, Nabi S.A.W telah bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermkasud: "Kasih-sayangKu lebih utama untuk mereka yang berkasih-sayang pada jalanKu, golongan berhimpun dan berkelompok semata-mata keranaKu, golongan yang saling ziarah-menziarahi keranaKu, dan golongan yang sentiasa berbelanja dijalanKu"

 

Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :

‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

 

Perbuatan zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina. Zina boleh merosakkan keturunan , menimbulkan pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Seseorang yang melakukan zina, dan hasil daripada zina ini apabila mendapat anak , ia sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa atau pun membuangkannya merata tempat tanpa belas kasihan semata-mata untuk menutup malu pada keluarga dan masyarakat. Peribadi seperti ini kedudukannya lebih rendah dari haiwan kerana haiwan pun mempunyai perasaan kasih sayang pada anak-anaknya.

 

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Dan siapa-siapa yang berzina dengan seorang perempuan, sewaktu berbangkit dari kuburnya kelak, sesungguhnya ia merasa sangat haus.”

 

Oleh kerana betapa besarnya mudharat zina ini, Allah SWT. akan memberi ganjaran pahala yang besar dan memberi naungan-Nya di akhirat nanti kepada sesiapa sahaja di kalangan hamba-hamba-Nya yang sanggup menolak ajakan zina oleh perempuan cantik dan berpangkat dengan kata-kata, “Sesungguhnya aku takut kepad Allah.” seperti mana Nabi Yusof a.s. menolak ajakan isteri pembesar Mesir ketika itu untuk melakukan zina.

 

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

 

Harta adalah salah satu komponan penting di dalam pembinaan masyarakat Islam.Tanpa ada harta dan kekuatan darisegi ekonomi sesebuah negara Islam itu tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan diri daripada musuh-musuhnya. Dengan adanya harta dan kewangan yang kukuh dapat mempertingkatkan pertahanan negara dengan senjata dan peralatan yang cangih , mempertingkatkan pembangunan dan ekonomi negara. 

 

Islam menggalakkan sedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin , supaya jurang perbezaan di antara mereka dapat di kurangkan.Di dalam hadis yang lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa salah satu golongan yang akan masuk syuraga bersama-sama golongan yang mati syahid dan ulama adalah dermawan yang menyumbangkan hartanya di jalan Allah semata-mata mencari keredan-Nya. sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di berikan oleh tangan kanannya. Dari sumbangan golongan yang berharta ini , di berinya tanpa di canang-canangkan di dalam akhbar , akan mengharmonikan hidup bermasyarakat dan membantu mengukuhkan kekuatan negara. Insan budiman lagi dermawan ini akan mendapat naungan Allah SWT  di akhirat nanti.

 

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.

 

Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, sesungguhnya Aku dekat. Aku menyahut doa orang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku, justeru sahutlah seruan-Ku.” (Surah al-Baqarah ayat 186).

 

Orang mukmin pada siang harinya dia menjadi ‘singa’, bekerja bersungguh-sungguh dalam semua urusan . Dalam urusan kerjayanya mencari nafkah, dalam urusan dakwah dan tarbiah dan dalam urusan membantu masyarakat. Tetapi pada malam hari menjada abid , membaca al-Quran , berzikir , bersolah tahajud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata. 

 

Dia rasa diri ini kerdil dan terlalu banyak dosa-dosa yang di lakukan, sekiranya tanpa belas kasihan Allah SWT dia merasakan dia tidak dapat menyelamatkan diri dari azab Allah di hari akhirat nanti.Peribadi mukmin seperti ini akan termasuk dalam golongan ketujuh iaitu golongan yang mendapat naungan Allah SWT. di hari akhirat nanti.

 

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jalan keselamatan untuk terselamat dihari akhirat telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua iaitu tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Arasy Allah SWT, oleh itu berusaha dan berdoalah semoga kita menjadi salah satu golongan yang dipilih oleh-Nya untuk mendapat perlindungan-Nya nanti.


Sumber: https://m.facebook.com/notes/abu-basyer/tujuh-golongan-yang-akan-mendapat-naungan-allah-swt/10150852344026040/