Isnin, 3 Mac 2014

Wanita Yang dirindui Syurga

 
 
Assalammualaikum W.b.t

Firman Allah S.w.t yang bermaksud : 
  " Sesiapa yang mengerjakana amal soleh, baik lelaki mahupun wanita sedangkan mereka orang yang beriman, mereka itu pasti akan masuk ke syurga dan tidak akan dianiaya walau sedikit pun " - Surah An-Nisa' :124
Allah yang Maha Adil telah menciptakan manusia dengan penuh keseimbangan. Begitu juga dengan maksud ayat Al-Quran di atas yang jelas menyatakan bahawa Allah S.W.T telah menjanjikan syurga kepada semua hambaNya tanpa mengira jantina sama ada lelaki atau perempuan. Tetapi dengan syarat, mestilah orang yang melakukan amal soleh dan beriman.

Ini dikukuhkan lagi dengan firman Allah S.W.T dalam  yang bermaksud :
" Orang yang beriman dan beramal soleh , maka mereka itulah penghuni syurga dan mereka berada kekal di dalamnya. "
Surah Al-Baqarah : 82
 Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini dan mengimani sesungguhnya bahawa seorang yang beriman akan diganjari syurga di akhirat kelak. Oleh itu , kita perlulah meningkatkan lagi tahap keyakinan terhadap janji Allah S.W.T dan ganjaran syurga itu dengan melipat ganda usaha gigih untuk mentaati, melaksanakan semua perintah Allah S.W.T serta meninggalkan laranganNya.

Rasulullah s.a.w. juga ada menyebutkan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah dengan sabdanya :
" Setiap umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang mengingkari." Maka, sahabat bertanya : "Siapakah yang ingkar itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab : "Siapa yang mentaati aku, maka dia akan masuk syurga. Siapa yang menderhakai aku, maka dialah golongan yang mengingkari." - Hadis Sahih Riwayat Bukhari.
Wanita Yang Dirindui Syurga ialah kerana sinonim dengan amal soleh dan ketinggian iman yang disingkapkan daripada riwayat hidup srikandi Islam. Perjuangan para wanita solehah ini bertunjangkan keimanan yang teguh di dalam hati dan berbekalkan semangat jihad yang berkobar-kobar di dalam jiwa raga mereka demi menyebar, membela dan menegakkan syiar Islam pada zaman Rasulullah S.A.W.

Menurut Abdullah bin Amru, Baginda S.A.W bersabda :
" Dunia ini adalah perhiasan. Sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah."  -Hadis Sahih Riwayat Muslim, an-Nasa'i, Ibn Majah dan Ibn Hibban.
Srikandi wanita solehah ini adalah kelompok insan yang sentiasa berbuat amalan kebaikan lagi mulia, menghindari setiap keburukan atau kejahatan serta beriman kepada Allah S.W.T. Walaupun golongan ini hanya takut kepada Allah yang Maha Esa sahaja, tetapi mereka tidak pernah gentar atau takut untuk menyokong para lelaki muslimin untuk maju ke hadapan berjihad di jalanNya. Di samping itu juga, muslimah beridentitikan solehah lagi gemilang inilah yang pernah menjadi sayap kiri perjuangan bertindak memberi perlindungan, bantuan, rawatan perubatan, tenaga serta membangkitkan semangat para pejuang untuk menggerakkan aktivti dakwah dan jihad bagi memelihara agama Islam yang suci.

Wanita sememangnya sudah sinonim dengan kelembutan. Namun, ini tidaklah bererti wanita itu bersifat dengan segala sifat kelemahan. Di sebalik tabir kelembutan inilah, terpancar keperibadian srikandi solehah yang tidak pernah berasa takut akan mati atau gerun ketika berhadapan dengan musuh meskipun fizikal dan material musuh melebihi kekuatan pejuang Islam. Ini kerana hidup dan mati mereka hanyalah untuk Allah S.W.T  dan diperjuangkan demi agamaNya. Tambahan pula, mereka sangat mencintai jihad dan memilih  kematian di jalan Allah S.W.T bagi memperoleh ganjaran mulia yang disediakan olehNya kepada para Syuhada.

Kerinduan kepada syurga dan keinginan untuk menemui Pencipta alam semesta ini di Akhirat nanti terhasil daripada keyakinan hamba-hambaNya yang teguh. Mereka juga sangat merindui segala ganjaran dan kenikmatan yang telah dijanjikanNya tanpa menghiraukan penderitaan di dunia. Segala kesusahan dan cabaran ditempuhi dengan hati yang cekal penuh ketabahan, kesabaran yang tinggi dan keberanian yang sukar di percayai. Inilah yang merangsang mereka untuk sentiasa berusaha dengan gigih bagi mendapatkan syahid dan keredhaan Allah S.W.T tanpa menghiraukan ujian, ugutan serta tentangan orang yang derhaka dan memusuhi agama Islam yang suci ini..

Firman Allah yang bermaksud :
" Mereka yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, maka mereka itulah yang mengharap rahmat Allah"
-Surah Al-Baqarah : 218-

Sesungguhnya, kehadiran srikandi Islam ini telah meninggikan martabat kaum wanita sehingga syurga Allah S.W.T dipenuhi bau harum disebabkan ganjaran yang mereka perolehi. Oleh itu, apa jua yang kita lakukan mestilah berlandaskan hanya kerana Allah S.W.T. Yakinlah bahawa setiap amalan yang dilakukan pasti akan dinilai olehNya dan diberikan pahala yang setimpal. Sama-samalah kita jadikan riwayat hidup, pengorbanan yang ikhals dan sumbangan terhadap Islam daripada golongan wanita solehah ini sebagai teladan untuk kita melayari kehidupan yang semakin mencabar kerana dunia sudah pun menghampiri penghujungNya. Mudah-mudahan ilmu yang baik ini mampu dimanfaatkan demi kebaikan bersama.

- Muqadimah  Tamat -


Ukhty Nur Afiqah / Ukhty Fellah El-Iman










Tiada ulasan:

Catat Ulasan