Jumaat, 5 Ogos 2016

Bab Taubat: Apa itu taubat yang sebenar?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم




Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...




Alhamdulillahi rabbil alamin, segala puji pujian kepada Allah سبحانه وتعالى pemilik keagungan yang nyata, yang maha penyayang lagi maha mengasihi.  Dan salam serta selawat ke atas junjungan besar kita baginda al Mustofa al Mujtaba Rasulullah ﷺ  Muhammad ibni abdillah.



Kita memohon kepada Allah سبحانه وتعالى akan pembukaan yang nyata dan keyakinan serta keteguhan yang sempurna. Dan bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah yang maha esa, tiada sekutu bagiNya, tuhan pemilik kerajaan langit dan bumi, maha benar lagi nyata. Dan bersaksi bahawa Sayyiduna Muhammad ﷺ itu adalah hamba Mu dan utusan Mu yang sangat benar lagi amanah.



Syukur ke hadrat Allah kerana telah memilih kita yang penuh dosa ini berada di dalam satu gerakan dan jemaah yang bersama bertaubat dan bergerak menuju ke arah redha Nya... Alhamdulillah.. Sebelum kita mulakan perkongsian ilmu kita pada hari ini,  marilah bersama kita beristighfar dan membetulkan kembali niat kita menimba ilmu.





Astaghfirullahal azim... Tubna ilallah..


Toyyib... Salallah sayidina Muhammad

In syaa allah, kita dikumpulkan pada hari ini bagi membicarakan berkenaan sebuah tajuk yang banyak kali kita dengar, namun banyak kali juga kita luah dan melupakannya semula.

Imam al ghazali telah menggariskan 10 sifat mahmudah di dalam kitab nya Bidayatul hidayah,  dan syeikh telah memulakan segala kesepuluh sifat itu dengan yang pertama sekali ialah dengan sifat yang akan kita bincangkan pada hari ini In syaa allah.

Warkah pada hari ini berkenaan dengan tangisan seluruh manusia yang pernah hidup di atas muka bumi, yang sudah meninggal pergi dari dunia sementara ini, ada dari mereka yang merintih asbab dari satu penyesalan. Maha suci Allah, pada yang masih menerima oksigen ke dalam rongga jasad mereka yang menjadi asbab agar mereka terus hidup dan diberi peluang oleh Allah, mereka merintih juga di atas satu penyesalan.


Mereka menyesal ke atas bait-bait kata yang diucapkan bukan kerana Allah, mereka menyesal ke atas setiap gerak tulang temulang sendi-sendi saraf mereka yang bukan kerana Nya.


Daripada penyesalan penyesalan ini, maka mereka mencari satu method yang dapat mereka praktikkan agar hilang segala kegusaran di hati mereka.


Salallah sayidina Muhammad... Dan sentiasa.. Allah pemilik segala rahsia dan mengetahui isi hati..

Maka asbab itu... Allah memberi peluang kepada antum pada hari ini.. Untuk mendengar satu perkhabaran baik buat diri yang berdosa... Satu warkah tangisan..

Inilah dia.. Tentang Taubat.....


Toyyib... Salallah sayidina Muhammad


Ramai daripada kita yang hadir merupakan dari golongan remaja. Di mana golongan ini sering dikaitkan dengan pelbagai ragam. Mereka solat, berpuasa, menutup aurat, berpakaian sunnah. Namun melakukan perkara yang aneh. Mereka bergaul secara bebas, berkata dengan tidak sopan, buka Internet tengok macam-macam. Iman mereka lemah, penuh dengan godaan ke atas diri mereka yang membawa kepada celaan manusia lain.

Perkara ini umum diketahui. Tentang ujian yang melanda remaja zaman ini. Namun ya ayyuha sysyabab. Dengarkan lah Warkah yang memberi harapan kepada semua daripada kita ini in syaa allah.

Pertama sekali, ada khabar berita yang gembira kepada semua remaja. Penyesalan yang kita rasai dalam diri kita ini iaitu kita menyedari bahawa kita lemah dengan ujian, kemudian ingin kembali kepada Allah... Kemudian mengulangi kesilapan yang sama, kemudian ingin kembali semula kepada Allah.

Hadza... Ini adalah berita gembira kepada remaja kerana ini menandakan iman yang kuat di dalam hati kamu.

Iaitu mereka sangat mencintai Allah. Selama mana kamu mencintai Allah, ketahuilah bahawasanya allah juga mencintai kamu.

Allah mencintai mereka para remaja, dan mereka mencintai Allah.

Demi Allah wahai saudaraku, jika Allah tidak mencintai kamu, dia tidak akan mencampakkan ke dalam hati kamu satu perasaan.

Perasaan pedih.  Ini adalah perasaan yang kita rasakan

"aku... Aku dah melakukan satu kesalahan.. "

Perasaan yang apabila terjadi sesuatu, kita rasakan ianya adalah asbab kelalaian kita kepada Allah. Bentuk perasaan ini adalah tanda cahaya keimanan. Di sini cahaya lilin keimanan itu ada, namun cahaya lilin ini memerlukan penjagaan sebelum ingin  memadamkan nya.

Salallah sayidina Muhammad..

Yang memadamkan cahaya lilin keimanan ini adalah tekad melakukan maksiat. Perkara yang bahaya itu datang daripada mana? Perkara yang lebih bahaya daripada melakukan maksiat... Maksiat itu sudah bahaya, namun yang lebih bahaya daripada melakukan maksiat adalah terus menerus melakukan maksiat.

Mengambil mudah saja "Allah itu kan maha pengampun.."  kemudian kembali semula melakukan maksiat. Memandang ringan dan remeh terhadap maksiat pada diri sendiri.

Ini bahaya..

Ianya adalah isyarat bahawa cahaya iman sudah mulai menghilang.

Kemudian, apa yang lebih bahaya daripada itu? Iaitu mengambil mudah dan terus menerus melakukan maksiat bersama merasakan putus asa terhadap Allah

"aku ni tak da kebaikan dah....  Zaman sekarang ni pun dah susah nak buat baik....  Aku dah cuba 15 kali, 20 kali bertaubat tapi kembali juga buat maksiat.. "

Haa....

Salallah sayidina Muhammad

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda

" tidaklah dipanggil sebagai orang yang terus menerus melakukan dosa dari kalangan orang yang beristighfar sekalipun kembali kepada maksiatnya 70 kali. "
Salallah sayidina Muhammad...

Allah....  Ya ayyuha sysyabab... Apa lagi alasan kita nak bagi untuk tidak bertaubat?

Jika syaitan itu tidak pernah berputus asa untuk memasukkan kamu ke dalam neraka...

Bagaimana kamu boleh berputus asa untuk masuk ke syurga?

Salallah sayidina Muhammad...

Maka setiap kali kamu berasa diri menguasai kamu, baliklah ke rumah terus berwudhu', solat 2 rakaat dan dalam sujud katakan lah

"Ya rabb... Diri ku menjadi sangat dekat dengan Mu ketika sujud,  tetapi aku mengadu kepada Mu segenap jiwa raga ku dan aku memohon pada Mu bawalah hati ku serta diri ku kepada Mu, sehingga aku dapat merasai kemanisan berhubung dengan Mu, hingga aku terpisah dari maksiat ini. "

Berdoalah kepada Allah dengan cara yang mampu kamu ungkapkan. Berdoalah kepada Nya dengan bahasa yang kamu faham. Mengadu lah tentang diri kamu kepada Allah. Letakkan dan campakkan diri kamu di hadapan pintu Allah.

Ya ayyuha sysyabab... Ketahuilah.. Jika kamu buat semua ini dengan penuh penyesalan, kejujuran serta berazam tidak akan kembali semula kepada maksiat

Selesai sahaja solat, Allah telah mengampunkan dosa-dosa kamu.

Kemudian selepas daripada itu, bagi kamu ada beberapa kewajipan selama mana kamu dimuliakan Allah dengan pengampunan Nya.

Hendaklah kamu ambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang membawa kepada dosa itu? Orang-orang yang melakukan dosa, iaitu mereka berkelakuan jahat yang memudahkan kamu berbuat jahat. Yang mengajak kamu, mempengaruhi kamu berbuat jahat. Maka jauhi mereka selangkah demi selangkah, bukan dengan kesombongan tapi kerana menjaga diri kamu.

Kemudian, sesuatu kewajipan yang sebelum ini ditinggalkan, cuba laksanakan nya. Sesuatu yang salah di sisi islam, maka usaha lah mengubah nya. Berusaha terhadap diri kamu. Allah berjanji dengan firman Nya dan tidak akan memungkiri janji Nya

"dan mereka yang berusaha keras mencari jalan-jalan kami, pastilah kami akan menunjukkan mereka jalan-jalan kami. "

Allah telah berjanji kepada kamu, jika kamu berusaha keras kerana menginginkan allah, maka akan ditunjukkan jalan Nya.

Jika kamu jatuh kembali ke dalam dosa, kembali sekali lagi kepada bertaubat kepada Allah. Dan ketahuilah bahawasanya kamu sedang berjihad di jalan Allah. Dan ketahuilah bersama dengan itu juga, dosa-dosa kamu berubah menjadi pahala, namun dengan syarat.. Jangan kamu jadikan permasalahan taubat Ini perkara main-main.

Jika diri kamu ingin bawa kamu ke arah maksiat, maka lantas ucapkan "ini haram".  Kemudian syaitan menyeru kamu
"kamu buat je maksiat tu dulu kemudian bertaubat lah"
Yang ini main-main...  Jangan pernah bertekad melakukan dosa. Yang ini seperti menperolok olokkan allah. Jangan buat macam ni.

Tapi..
Jika kamu dah cuba menghalang diri kamu dengan pelbagai ikhtiar, tiba-tiba satu ketika kamu kalah dan jatuh ke arah maksiat. Kembali semula kepada Allah. Allah gembira terhadap kembalinya kamu kepada Nya.

Telah dikisahkan oleh junjungan besar baginda al Mustofa Rasulullah ﷺ, hadith ini menggembirakan hati wahai sahabat ku semua.

Baginda ﷺ bersabda
]
Apabila berdosa seseorang hamba itu kemudian dia bertaubat dan memohon ampun. Allah berfirman kepada para malaikat Nya
" Ya malaikatih... Lihatlah kepada hamba ku ini. Dia berdosa kemudian dia bertaubat dan memohon ampun, saksikan lah sesungguhnya aku telah mengampuni nya.. "
Lantas kemudian, dia kembali ke lembah dosa, dia menyesal dan bertaubat serta kembali semula kepada Allah memohon ampun (buat kedua kali). Maka Allah berfirman kepada para malaikat Nya :
" Ya malaikatih.... Lihatlah kepada hamba ku ini.. "

# Perhatikan ya ayyuha sysyabab, kita yang berdosa ni, hanya dengan kembali kepada Allah. Allah membanggakan diri kita di hadapan para malaikat yang tidak berdosa.

Alangkah agungnya Tuhan kita ini!
Alangkah agungnya cinta Nya kepada kita...!! Allahu Rahman.. Salallah sayidina Muhammad
#

Allah berfirman kepada para malaikat Nya:
" Ya malaikatih... Lihatlah, hamba Ku ini dia berdosa lantas bertaubat kemudian dia jatuh semula, kemudian dia bertaubat, saksikan lah bahawasanya Aku telah mengampunkan nya.  "

Kemudian, dia kembali jatuh buat ketiga kali ke lembah dosa, lantas dia bertaubat semula memohon ampun dengan penuh kejujuran, lantas allah berfirman kepada para malaikat Nya

"Ya... Malaikatih.... Lihatlah kepada hamba Ku ini. Dia berdosa, lantas bertaubat maka aku telah mengampunkan nya, kemudian, dia kalah dengan nafsunya dan berdosa, lantas dia bertaubat maka aku telah mengampunkan nya. Kemudian dia kalah sekali lagi dengan nafsunya....
# Perhatikan kalimah ini # hamba ini tahu bahawasanya dia ada Tuhan yang maha mengampuni dosa. Lantas hamba ini bertaubat dan kembali kepada Allah. Ya malaikatih... Saksikan lah bahawasanya... Aku telah mengampunkan dosanya yang terdahulu dan kemudian.. "

]

Subhanallah... Alhamdulillah... Laa ila ha illallah... Allahu akbar...
Allahumma Solli Ala sayidina Muhammad wa ala alihi wa sohbihi Wasallim...

Sungguh agung tuhan kita ya Syabab....!!

Inilah dia kemuliaan allah yang selayaknya kita kita merasa malu di hadapanNya kerana Dia telah bergaul dengan kita dengan penuh kemuliaan ya Syabab...

Maka apa lagi yang kita mampu berikan sebagai alasan untuk berputus asa dari rahmat Nya?

Allah berfirman :
"Bertaubat lah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar. "
(surah at Tahrim : 8)

Betapa kewajipan taubat itu didahulukan oleh para ulama sebelum daripada amal ibadat yang lain.

Jangan kita lupa atas segala yang kita telah janjikan kepada Allah dan membuang ajaran daripada kitabullah ke belakang.

Jangan sehingga kita digolongkan di dalam golongan yang dilupakan Allah azzawajalla akan janji kita langsung kita lalai dan tidak mengingati hal akhirat.

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda :

"Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, maka Allah suka bertemu dengan mereka dan sesiapa yang membenci pertemuan dengan Allah, maka Allah pun membenci pertemuan dengan nya. "

Allah berfirman :

" Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik. "
(surah al hasyr  : 19)

Yakni mereka itu adalah orang-orang yang derhaka dan mengkhianati perjanjian mereka dengan Allah agar menjadi hamba yang taat.

Kata imam al Ghazali rahimahullah Ta'ala dalam kitab nya mukasyafatul qulub

Orang yang derhaka, yakni orang yang fasikh itu ada dua macam. Orang fasikh yang kafir dan orang fasikh yang fajir.

Orang fasikh yang kafir itu ialah orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul Nya.  Mereka yang menidakkan kalimah syahadah.

Adapun orang fasikh yang fajir ialah orang islam yang mengucapkan dua kalimah syahadah namun melakukan dosa besar seperti minum arak, makan makanan haram,  berzina dan menderhakai Allah. Mereka ini terkeluar daripada jalan ibadah dan masuk ke dalam kemaksiatan, tetapi mereka bukanlah dari golongan musyrik.

Orang fasikh yang kafir tidak akan diampuni dosanya kecuali dengan bersyahadah dan beriman kepada Allah dan Rasul Nya.

Sedangkan orang fasikh yang fajir masih akan diampunkan oleh Allah dengan cara bertaubat dan menyesal atas dosa nya sebelum ajal tiba.

Kerana setiap maksiat yang dilakukan asbab nafsu,  masih lagi mempunyai harapan untuk memohon keampunan daripada Allah,  namun, maksiat yang dilakukan asbab sifat sombong, iaitu tidak mahu beriman sedangkan sudah dibuktikan kebenaran di hadapan mata mereka, maka tidak mungkin dapat diampunkan melainkan memperbaharui iman mereka. Seperti iblis laknatullah, yang mana dia dikeluarkan daripada syurga dan dihina kan asbab daripada sifat sombong.

Ada sebuah cerita.

Bahawasanya ada seorang lelaki yang setiap kali melakukan sebuah dosa, dia akan mencatatkannya di dalam sebuah buku.  Pada suatu hari dia telah melakukan sebuah dosa, lalu dibuka lah buku nya. Namun, bukunya itu menjadi kosong bersih tidak bertulis apa-apa, kecuali sebuah potong ayat

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(surah al furqan : 70)

Alangkah bahagia perasaan lelaki itu, dan menghabiskan sisa hidupnya dengan ketaatan kepada Allah dan cinta kepada baginda Rasulullah ﷺ.

Ada lagi sebuah kisah

Suatu ketika, Sayyidina Umar bin Al Khattab ra. Melalui sebuah lorong daripada jalan jalan di Medina. Ketika itu, ada seorang pemuda yang bertentangan arah dengan Sayyidina Umar. Pemuda tersebut sedang membawa sebuah botol berisi arak di bawah bajunya. Apabila terserempak dengan pemuda itu, maka Sayyidina Umar bertanya kepada pemuda itu,
"apakah di bawah baju kamu itu wahai pemuda? "
Pemuda itu yang terkejut dan malu dengan pertanyaan itu berasa gelisah, siapa tidak kenal Umar, jika beliau diketahui membawa arak sedangkan diharamkan ke atasnya, buruk nasibnya nanti.
Ketika itu dia hanya gugup dan tidak tahu hendak berkata apa, salam keadaan sedemikian, terlintas di hati nya..
" Ya tuhanku... Janganlah Engkau buka aib ku dan peliharalah aku di hadapan Umar, dan aku tidak akan minum arak selamanya. "

Umar memandangnya dengan tajam, lalu dikatakan oleh pemuda itu
" Wahai Amirul mukminin, yang aku bawa ini adalah cuka. "
" cuba perlihatkan kepada aku sehingga aku dapat mengesahkannya " kata Umar dengan tegas.

Lalu perlahan-lahan dia mengeluarkan botol itu.  Alangkah terkejutnya dia, yang dikeluarkan daripada bawah bajunya adalah sebotol cuka dan bukannya arak. Kemudian Sayyidina Umar memberi salam dan terus berlalu. Subhanallah...

Renungan wahai saudaraku, ada makhluk yang bertaubat kerana takut kepada makhluk yang lain, namun asbab allah mengetahui keikhlasannya bertaubat. Allah menukar arak kepada cuka..

Sebuah lagi kisah...

Abu Hurairah ra. pernah bercerita

"aku pernah keluar suatu malam setelah aku menunaikan solat Isyak bersama dengan Rasulullah ﷺ. Tiba-tiba ada seorang perempuan di tengah jalan, dia berkata, 'wahai abu Hurairah, sesungguhnya aku telah melakukan sebuah dosa maka apakah berguna bagi ku sekiranya bertaubat?'  aku berkata 'engkau telah celaka dan membuat kecelakaan. Demi Allah tidak ada taubat bagi mu.'  lalu wanita itu pengsan, dan aku berlalu pergi asbab terkejut akan kejadian ini, kemudian hati ku gelisah, aku berfatwa sedangkan Rasulullah ﷺ ada di tengah-tengah kami.  Aku kembali kepada baginda Rasulullah dan mengadu pada baginda, kemudian baginda Rasulullah ﷺ bersabda
' Celaka pula ke atas mu dan mencelakakan, bagaimana pendapat mu mengenai ayat ini :
" Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan lain selain Allah... Maka kejahatan mereka diganti allah dengan kebaikan. "
(surah al furqan : 68-70)

Lalu aku keluar dan mencari semula wanita tersebut, aku bertanya ramai orang sehingga mereka mencemuh ku sebagai gila. Tetapi akhirnya aku menemui nya dan aku khabarkan kepada nya tentang pesanan baginda Rasulullah ﷺ, tersedu sedu dia mendengar kerana gembira lalu berkata
"aku memiliki sebuah kebun, dan aku sedekahkan nya untuk allah dan Rasul Nya "

Subhanallah... Teringin untuk saya ceritakan berkenaan cerita yang keempat berkenaan Utbah bin Ghulam

Utbah bin Ghulam terkenal sebagai seorang yang fasikh sebelumnya, dia terkenal dengan penipuannya yang besar dan tabiat suka meminum arak.

Pada satu hari, dia memasuki majlis taalim bersama Imam Hassan al Basri rahimahullah Ta'ala dan ketika itu syeikh sedang membaca tafsir dari firman Allah :

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik. "
(Surah al Hadid : 16)

Yakni tidakkah sampai masa di mana mereka berasa takut? Pada saat itu syeikh Hassan memberikan nasihat dalam mentafsirkan ayat ini dengan nasihat yang dalam, sehingga membuat orang-orang menangis. Lalu berdiri lah seorang pemuda dan berkata

"Wahai orang yang bertaqwa di antara sekalian orang mukmin, adakah allah azzawajalla akan menerima orang fasikh dan lemah seperti aku ini apabila mahu bertaubat?"

Syeikh Hassan al Basri menyatakan

"Ya.. Allah akan menerima taubat dari perbuatan mu. "

Setelah mendengar perbicaraan ini, wajah Utbah bin Ghulam menjadi pucat lesi, bergetar seluruh tubuhnya dan dia Tiba-tiba berteriak dengan nada yang kuat

" AARRRRGGHHHHH!!!! "

Lalu jatuh pengsan..

Apabila sudah sedar, Imam Hassan mendekatinya dan mengatakan bait-bait ini :

" Wahai pemuda yang derhaka kepada Tuhan yang memiliki Arasy, tahukah engkau apa balasan orang-orang yang menderhaka? Neraka sa'ir bagi orang yang menderhaka, dia mempunyai suara nyala api dan kegeraman pada saat ubun-ubun dipegang. Sekiranya engkau tabah menghadapi neraka itu, berbuat lah derhaka. Sekiranya tidak, jadikan lah diri mu orang yang menjauhi maksiat. Dengan kesalahan kesalahan yang telah dilakukan engkau itu, bererti engkau telah menggadaikan diri, maka bersungguh-sungguh lah dalam membebaskan diri mu. "

Mendengar kata-kata ini, Utbah berteriak sekali lagi.. Lalu pengsan.

Apabila kembali sedar, dia menjumpai Imam Hassan dan berkata " Ya syeikh, apakah betul Tuhan yang Maha penyayang akan menerima taubat orang seperti aku yang sangat tercela ini? "

Syeikh menjawab " Tidak ada yang dapat menerima taubat orang yang menderhaka kecuali Tuhan yang Maha Pengampun. "

Kemudian Utbah mengangkat tangannya dan berdoa tiga buah doa.

Pertama,  " Tuhan ku, sekiranya Engkau menerima taubat ku dan mengampuni dosa ku, maka muliakan lah aku dengan kefahaman dan hafazan sehingga aku dapat menghafaz semua yang aku dengar baik ilmu dan al Quran."

Kedua,   " Tuhan ku, muliakan lah aku dengan suara yang indah sehingga setiap orang yang mendengar bacaan ku menjadi bertambah lembut hati nya."

Ketiga,   "Tuhan ku, kurniakan lah aku rezeki yang halal dan berilah aku rezeki dari arah yang tidak aku sangka."

Kemudian, Allah telah memakbulkan kesemua permintaannya, sekiranya dia membaca Al Quran maka bertaubat lah setiap orang yang mendengar bacaan nya.  Dan setiap hari terdapat di dalam rumahnya, sepiring kuah dan dua ketul roti tetapi tidak diketahui seorang pun yang telah meletakkannya.

Perkara ini terus berlaku sehingga beliau berpisah dari dunia pergi berjumpa dengan kekasihnya yang abadi.

Sungguh kita perlu mengambil iktibar daripada semua kisah ini, dan menjadikan diri kita seorang yang tidak mengalah daripada bertaubat.

Jika ada yang menitiskan air mata asbab teringin kepada taubat, maka itu tanda hati mu telah mula berbenih semula dengan benih keimanan.

Ya Allah aku telah berdosa ya Allah..

Ya Allah aku telah bermaksiat pada Mu ya Allah...

Ya Allah bagaimana nasib ku di akhirat nanti ya Allah...

Ya Allah bagaimana aku hendak berhadapan dengan mu nanti ya Allah...

Ya Allah bagaimana aku hendak berhadapan dengan kekasih Mu baginda Rasulullah ﷺ dalam keadaan aku ini seorang daripada umat nya yang berdosa ya Allah....

Kita sentiasa menangisi diri kita, dan Allah azzawajalla suka melihat hamba Nya yang menangis di atas dunia ini kerana dosa-dosa nya, merasa rendah, menangisi diri di hadapan Allah subhanahu wa taala di atas yang kita tersungkur.

Ketahuilah saudara ku, setitis air mata yang digugurkan di atas dunia ini kerana takut kepada Allah,  akan memadamkan selautan api neraka jahanam.

Satu titis.

Di dunia ini, satu titis itu mampu untuk memadam selautan api neraka jahanam. Namun,  selautan tangisan di akhirat nanti tidak akan memadam walaupun setitis daripada api neraka jahanam.

Kerana tangisan apabila nyawa manusia sudah direntap oleh malaikat maut, maka tangisan nya di dalam kubur, tangisan nya di padang mahsyar, tangisan nya di titian sirat, tangisan nya di dalam api neraka jahanam, tidak akan memberi kesan, tidak akan memberi sebarang manfaat serta faedah je atas diri.

Dan yang memberi faedah adalah satu, walaupun satu, satu titisan tangisan yang digugurkan di atas dunia ini.

Semoga Allah subhanahu wa taala lembutkan hati kita untuk kita menangis di hadapan Nya, untuk kita merintih di hadapan Allah azzawajalla, kerana orang yang tidak menangis di hadapan Allah, Yang tidak dapat mengeluarkan air mata atas dosa-dosa nya adalah kerana kekerasan hati.

Dan ulama menyatakan bahawa taubat yang dilakukan kerana berdosa itu cukup ringan sekali. Tapi taubat yang dilakukan kerana ketaatan kepada Allah maka memerlukan kepada sepuluh ribu kali taubat.

Maka seseorang yang walaupun telah banyak ibadah kepada Allah, telah banyak solatnya, telah banyak zikir nya, sebaliknya dia lebih perlu supaya bertaubat kepada Allah,  takut-takut jika dalam ibadah ada terselit sifat riyak, di dalamnya terselit sifat takabbur, sifat ujub, sifat sum'ah dan sebagainya,  takut-takut.

Sebab itu ulamak menerangkan bahawa taubat untuk maksiat cukup denganDan apakah tanda taubat kita diterima Allah?  sekali, tapi taubat untuk ketaatan perlukan pada beribu ribu kali.

Dan apakah tanda taubat kita diterima Allah?

Ulama menjawab tidak ada kepastian dalam hal itu, namun terdapat tanda-tanda ke arah itu :

1. Dia akan lihat dirinya terhindar dari maksiat (tidak melakukan maksiat seteruk sebelum bertaubat dan memperbaikinya setiap hari)

2.  Dia akan melihat kegembiraan(dunia) jauh dari hatinya dan melihat tuhan dekat di hati nya.

3. Dia akan mendekatkan diri dengan orang yang soleh dan jauh dari orang yang melakukan maksiat.

4. Dia akan lihat hatinya sibuk dengan apa yang diwajibkan allah ke atasnya.

5. Dia selalu memelihara lidahnya, memperbanyakkan berfikir dan selalu gusar dan menyesali dosa-dosa nya yang lalu.

Jika ada dari tanda-tanda di atas, maha suci Allah. Semoga terus beristiqamah.

Jika tidak, teruskan bertaubat dan bertaubat dan mengharapkan pengampunan daripada Allah.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya perkara yang wajib ke atas setiap mukmin itu adalah menjauhi dosa yang kecil juga yang besar, sepertimana ia menjauhi racun yang boleh membunuh, api yang membakar dan air yang melemaskan.

Apabila telah melakukan sesuatu dosa, maka bersegeralah kepada taubat tanpa menangguh dan melewatkannya, sebelum tiba ajal.

Teruslah berharap kepada Cinta Allah dan Rasul Nya, dan contohi lah setiap daripada akhlak baginda Rasulullah yang mulia.

Seperti dalam bait lirik nyanyian opick..
Allah Rahman..... ~
Allahu Rahim... ~
Allah ya Ghafar.....~
Ya nurrul Qalbi..~

"Jika tak mampu mengatasi abid dalam ibadah mereka, berlumba lah sebagai pendosa dalam taubat mereka "

... Nasihat dari al faqir...  Teruskan taubat.. Mungkin ini hari terakhir...

Wallahutaalaalam bishshawab wa ilaihi marjiul maab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan