Isnin, 18 Ogos 2014

Tentang Isu Niqab Dijawab Oleh Syeikh Nazul Nasir

Berkata Syeikh Nazrul Nasir


Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.


1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:
عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.


Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.
KESIMPULAN


Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah. 

Wallahu a’lam


Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Mohd Nazrul Abd Nasir
Rumah Kedah Hayyu 10,

http://nazrulnasir.blogspot.sg/2009/04/perbahasan-berkenaan-niqabpurdah.html

Cara Memakai Cincin Mengikut Sunnah





Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :

1.    Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?

2.    Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?

3.    Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?

4.    Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?

5.    Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.

JAWAPAN

BERAT CINCIN

1.    Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.

2.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah  3.125 gram ×  2 = 6.25 gram

3.    Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.

4.    Para ulama Hanabilah  pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal.  Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.

LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN

EMAS

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.

2.    Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

PERAK

1.    Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .

2.    Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.

3.    Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.

4.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
 
5.    Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.

SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

1.    Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.

2.    Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.

3.    Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.

4.    Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.

Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya

HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN

1.    Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.

2.    Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.

3.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.

4.    Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.

 

BENTUK CINCIN RASULULLAH

1.    Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.

2.    Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb  
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.
 
JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

1.    Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.

2.    Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.

3.    Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.

4.    Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.

5.    Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.



KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?

1.    Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN :

1.    Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2.    Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982



Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah & Bonda di Pedu,
Kedah, Malaysia

http://nazrulnasir.blogspot.sg/search?updated-max=2011-04-17T17:15:00%2B02:00&max-results=3

Kisah Seorang Raja Yang Menguji Sang Abid Dan Al Alim




Kisah Oleh
 Syaikhuna al-Allamah al-Hafidz Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba’ith al-Kittani al-Syafie hafizahullah

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang raja yang sangat bijak. Raja tersebut ingin mengajarkan kepada rakyat jelata suatu perkara yang sangat penting. Mungkin pada waktu itu masyarakat tidak dapat membezakan mana satu golongan alim dan mana satu golongan abid ( yang hanya beribadah tanpa ilmu) .

Maka raja memanggil seorang alim dan seorang abid yang tiada ilmu bagi membuktikan bahawa antara kedua-dua golongan ini pasti terdapat perbezaan yang jelas.

Raja menyuruh kedua-dua orang ini masuk ke dalam bilik yang berbeza. Setiap bilik diletakkan perkara yang sama iaitu diletakkan sebilah pisau, sebotol arak dan seorang wanita. Sang Raja juga mengarahkan kepada kedua-dua orang tersebut untuk melaksanakan salah satu daripada tiga perkara iaitu sama ada meminum arak, atau berzina dengan wanita tersebut atau mengambil pisau yang disediakan lalu membunuh wanita tersebut bagi mengelakkan daripada melakukan dosa zina.

Bilamana dimasukkan si alim dan si abid di dalam bilik masing-masing yang sudah tersedia di dalamnya ketiga-tiga perkara tersebut. Maka kedua-duanya sebaik sahaja berhadapan dengan ketiga-tiga perkara yang diarahkan oleh Sang Raja melaksanakan salah satu daripadanya, masing-masing punya pemikiran dan cara penyelesaian yang berbeza.

Bagaimana Sang Alim dan Sang Abid ini menyelesaikannya? Saya akan ceritakan satu persatu mengikut turutan. Kita lihat dahulu apa yang difikirkan oleh Sang Abid dan bagaimana dia menyelesaikan masalah tersebut.


SANG ABID DAN PENYELESAIANNYA

Sebaik sahaja masuk di dalam bilik tersebut, Sang abid melihat ketiga-tiga perkara telah berada di hadapannya. Sebilah pisau, sebotol arak dan seorang wanita cantik. Maka terlintas di dalam fikiran sang abid bahawa ketiga-tiga ini adalah dosa . Mengambil pisau dan menggunakan pisau tersebut untuk membunuh wanita cantik tersebut bagi mengelakkan zina adalah merupakan dosa yang besar. Berzina dengan wanita tersebut juga merupakan dosa yang besar. Perkara yang paling ringan sedikit berbanding membunuh dan berzina adalah minum arak. Maka , sang abid yang yakin dengan jalan penyelesaiannya terus mengambil botol arak dan meneguk isinya .

Apa yang berlaku seterusnya? Sebaik sang abid tersebut selesai minum arak, dia terus mabuk dan di dalam keadaan tersebut , dia menghampiri wanita cantik itu lalu mengajaknya bersetubuh dan akhirnya mereka berzina . Sebaik selesai berzina, sang abid sedar akan kesalahan yang dilakukannya . Bagi mengelakkan si wanita membongkarkan rahsianya, maka dia terus mengambil pisau dan membunuh wanita tersebut.

Maka , secara tidak sedar , Sang Abid telah melakukan ketiga-tiga perkara dosa tersebut secara sekaligus.

Bagaimana pula keadaan Sang Alim di bilik yang lain? Bagaimanakah dia menyelesaikannya?

Kita akan melihat pula bagaimanakah cara penyelesaian dan pemikiran Sang Alim tersebut.


SANG ALIM DAN PENYELESAIANNYA

Sebaik sahaja sang alim tersebut masuk ke dalam bilik itu, beliau tersentak dengan kewujudan ketiga-tiga perkara tersebut. Sang Raja telah mengarahkan agar melaksanakan salah satu daripada tiga perkara itu.

Sang Alim berfikir, “ Jika aku mengambil pisau dan membunuh wanita itu maka aku telah melakukan dosa membunuh. Membunuh adalah dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku berzina dengan wanita tersebut juga ianya merupakan dosa yang besar di sisi Allah taala. Jika aku mengambil arak dan meminumnya maka itu juga merupakan dosa yang besar. Jadi bagaimanakah cara yang terbaik untuk aku laksanakan?”

Sang Alim terfikir lagi , “ Jika aku meminum arak, akalku akan hilang dan kemungkinan aku akan laksanakan perkara yang aku tidak fikirkan. Maka jalan yang terbaik pada waktu sekarang adalah dengan aku mengambil pandangan di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu yang membenarkan seorang wanita tersebut mengahwinkan dirinya sendiri tanpa kewujudan dan persetujuan walinya”

Maka sang alim terus pergi kepada wanita tersebut dan mengatakan kepadanya : “ Wahai wanita, sudikah kamu berkahwin denganku?

Wanita tersebut bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh Sang Alim tersebut. Maka sang alim tersebut melafazkan lafaz nikah dan sang wanita bersetuju dan menerimanya. Maka secara hukumnya mereka telah berkahwin mengikut pendapat di dalam Mazhab al-Imam Abu Hanifah rahimahullah.

Secara tidak langsung, sang alim telah menjauhkan dirinya daripada kesemua dosa tersebut. Beliau tidak membunuh, tidak minum arak dan berzina. Malah beliau mendapatkan perkara yang lebih besar daripada itu iaitu dengan berkahwin dengan wanita cantik tersebut.

Selesai perkara tersebut, Sang Raja tersenyum kerana akhirnya beliau dapat membuktikan tetap ilmu itu lebih mulia daripada segalanya. Tanpa ilmu seseorang itu akan tersilap melakukan penilaian yang terbaik.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Wangsa Maju, Selangor Darul Ehsan,
Malaysia

http://nazrulnasir.blogspot.sg/search/label/Dakwah%20dan%20Perjuangan

Sabtu, 16 Ogos 2014

MARAH: SABAR ITU LEBIH MUDAH


GEMBIRA, SEDIH, MURAM DAN MARAH IBARAT WARNA-WARNI  KEHIDUPAN. WARNA-WARNI INILAH YANG AKAN MENCORAKKAN PELANGI INDAH BUAT SESEORANG. NAMUN, HATI-HATI DENGNNYA, ADA KALA BOLEH MEMBAHAYAKAN - ITULAH MARAH!


Seorang pemuda bertemu Rasulullah SAW untuk meminta nasihat, Baginda berkata "Jangan marah". Pemuda tersebut mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali, Baginda tetap menasihatkan dengan nasihat yg sama agar jangan marah. (Riwayat al-Bukhari)
    Biarpun marah merupakan salah satu rencam kehidupan, tetapi Rasulullah SAW tetap menegah kita daripada marah. Marah itu tak salah, namun perlu dikawal dan ada hadnya.

MARAH RASULULLAH SAW

     Rasulullah SAw juga pernah marah. Namun bukan kerana dirinya dicaci, dimaki dan tidak dihormati, tetapi marah Baginda kerana Allah SWT. 

Tatkala Bginda marah, mukanya berubah menjadi merah dan urat di tengah dahinya akan timbul. Ketika itu para sahabat sedia maklum Baginda sedang marah. Saat itu, Baginda tidak melayani perasaannya. Bahkan Baginda mampu bertenang dan memutuskan keputusan dgn adil dan rasional. 

Ada satu kisah menarik yg berlaku pd zaman Rasulullah SAW. Seorang sahabat datang mengadu kpd Baginda bahawa dia terpaksa meninggalkan solat berjemaah yg diimamkan oleh Muaz bin Jabal r.a dan solat bersendirian. Alasannya Muaz Bin Jabal terlalu memanjangkan bacaan dalam solat. Aduan yg disampaikan itu membuatkan Rasulullah kurang senang dgn tindakan Muaz. Lalu Baginda bertemu dan menasihatinya dengan tenang. Itulah kemarahan Rasulullah. Baginda berjaya mengawal dirinya drpd marah.



MEMADAMKAN API KEMARAHAN

   Bagaimana utk menguasai kemarahan dan bagaimana hendak memadamkan api kemarahan? Rasulullah SAW ada menunjukkan cara-cara untuk meredakan kemarahan dalam diri.

Atiyyah bin Urwah al-Sa'di pernah menceritakan bahawa Rasulullah ada berpesan: "Marah itu berasal drpd syaitan. Manakala syaitan pula diciptakan drpd api. Oleh itu, api dapat dipadamkan dengan air.Maka, apabila salah seorang antara kamu marah, hendaklah dia berwuduk." (Riwayat at-Tirmizi dan Abu Dawud)

Dari sudut jasmani, apabila kita berwuduk, kita akan berasa segar seolah-olah baru sahaja mandi. Hal ini kerana wuduk mengaktifkan kekuatan badan kerana semua titik kekuatan tubuh terdapat pada anggota wuduk di samping tekanan emosi lebih menenangkan berbanding sebelumnya.

Ketika marah, emosi akan menguasai akal dan menyebabkan seseorang boleh bertindak secara melulu. Oleh itu sekiranya sedang marah, cara yg terbaik ialah berdiam diri dan beredar seketika dari tempat tersebut. 
Tujuannya supaya kita mampu menahan diri drpd menghamburkan kata-kata nista dan menyakiti seseorang dengan tindakan yg tidak sepatutnya.

Kesimpulannya, marah banyak mengundang kemusnahan dalam diri seseorang. Biarpun pedih di hati apabila disakiti dan tidak dihormati, bersabarlah. Marah itu tidak salah, tetapi bersabar itu lebih indah..:)

Wallahu'alam.
Yg baik datang dari Allah, yang kurang dtg drpd diri hamba yg faqir ini..

Rujukan:
Majalah Gen-Q Isu 35; Kolum 1 Bulan 1 Sunnah; Kolumnis- Ust Fauzi Abd Hamid
Telaga Biru Sdn. Bhd

Update by: Al-Faqir Amirul Ikmal (TT Mufakir Syabab [TTI3])..