Sabtu, 15 Februari 2014

Lagenda Cinta Teragung.

 Bismillah. Assalamualaikum ya akhi wa ukhti :) Allahumma solli ala saidina Muhammad.
 
 
 
 
 
Teman...

Bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita sekali lagi diberi nafas untuk bernyawa, diberi mata untuk melihat, diberi daya untuk upaya, diberi minda untuk berfikir, diberi Islam untuk dihayati, diberi iman untuk ditambah, diberi takwa untuk dicari.. Semuanya diberi, dan semuanya PERCUMA. Itulah Allah Yang Maha Pemurah, yang amat menyintai diri ini. Tanyakan pada dirimu, sudahkah cinta-Nya dibalas? Sahabatku, Allah SWT sentiasa menghembuskan kasih dan cinta-Nya terhadapmu. Setiap apa saja perlakuanmu, dikau diingatkan agar mengiringi dengan aura cinta Allah SWT. Apakah aura cinta Allah itu? BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM... "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang..."

      Itulah kasih sayang Allah yang sering dikau lupakan. Teman, pernahkah dikau berbicara tentang cinta yang cukup agung? Sekarang akanku persembahkan padamu sebuah 'Lagenda Cinta Teragung'. Kasih daripada Allah, tuhan yang Maha Esa, tiada awal tiada berpenghujung. Hebatnya kasih Allah SWT hingga sanggup membelamu di hadapan malaikat sewaktu malaikat mempersoalkan kewibawaan manusia mentadbir dunia dahulu. Tahukah dikau, Allah SWT menghalau iblis dari syurga kerana iblis menghina manusia?

      Sewaktu dikau dilahirkan ke dunia, ayahmu mengazankan di telinga. Apakah perkataan pertama yang dikau dengar? ALLAH... lafzul jalalah inilah yang menjadi saksi hebat cinta kasih-Nya. Dikau pun membesar sedikit demi sedikit. Dirimu hanya menangis kerana lapar, tidak tahu meminta, Allah SWT menggerakkan hati ibu untuk memberimu makan. Dikau belajar berjalan, dan jatuh, kakimu begitu lemah. Lalu, Allah SWT arahkan kakimu agar mampu melangkah.

      Pada usia kecilmu, Allah SWT menghiburkan dirimu dengan hadiah-hadiah pemberian manusia. Sesiapa sahaja yang melihatmu, pasti berasa kasih. Dikau pun bebas bermain. Dikau luka, Allah lah yang pertama ubatkan. Kulitmu tercalar teruk, Allah SWT yang membalutkannya dengan kupin-kupin ubat yang sering dikau hina. Allah SWT hanya senyum padamu, lantas menghadiahkan untukmu kulit yang baru. Apabila sakit itu masih terasa, Allah SWT tidak pernah berhenti daripada memberi pandangan mesra penuh kasih sayang kepadamu, sedang dikau memaki hamun sakitmu itu. Pada saat yang sama, Allah SWT mengarahkan malaikat memadamkan dosa-dosamu.

      Apabila malam dikau bermimpi yang bukan-bukan, Allah SWT memujukmu. Kata-Nya itu hanyalah permainan syaitan. Dikau pun terus tidur lena di pangkuan-Nya. Padahal masa itu Allah SWT sedang menunggu kalau-kalau dikau ingin memohon ampun. Namun, dikau terus lena. Paginya pula, Allah SWT kejutkan dikau Subuh, mengapa? Kerana mahu memberikan dikau pahala, pahala Subuh yang besar ganjarannya. Dikau pula menekup telinga dengan bantal, lena semula. Allah SWT masih kejutkan dirimu, mengapa? Kerana Allah SWT sayang kepadamu. Allah SWT tidak mahu dikau lewat ke tempat kerja, nanti dimarahi manusia lain. Allah SWT tidak mahu dikau dimarahi, lalu dikau pun terjaga. Pernah terfikir, bagaimana dengan orang yang mati di dalam lena? Dikau pun membuka mata. Pernah terfikir, bagaimana pula dengan orang yang buta? Lalu, dikau bagun dari tempat tidur. Pernah terfikir, bagaimana nasib orang yang lumpuh? Dikau pun berjalan menuju ke bilik air. Pernah terfikir, bagaimana orang yang kudung kakinya? Selepas mandi, dikau menikmati sarapan. Bagaimana dengan orang miskin yang langsung tiada makanan?


Subhanallah...

Allah SWT memberikan semua itu kepadamu. Tanyakan hatimu, apa pula yang dikau beri kepada Allah SWT sebagai tanda bersyukur dengan segala anugerah-Nya? Allah SWT menyuruh dikau bersolat, dikau katakan awal lagi. Allah SWT menyuruhmu berpuasa, dikau katakan nanti-nanti. Allah SWT menyuruhmu membayar zakat, dikau katakan belum gaji. Allah SWT menyuruhmu pergi menunaikan haji, dikau katakan dirimu masih muda lagi. Allah SWT menyuruhmu bertaubat, dikau katakan masih lambat untuk mati. Namun Allah SWT masih memberi peluang untukmu. Dia tidak terus menghukum dirimu. Dia masih setia denganmu walaupun ke mana pun dikau pergi. Ya, janji Allah SWT di dalam al-Quran:

"...Aku bersama kamu walau di mana jua kamu berada..."

(al-Hadid, 4)

Dikau gembira, Allah SWT yang menghiburkanmu.
Dikau bersedih, Allah SWT yang menemanimu.
Dikau dilanda masalah, Allah SWT yang menyelesaikannya.
Dikau mempunyai cita-cita, Allah SWT yang mengkabulkannya.

Allah SWT berpesan kepada nabi:

"...kalau hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, katakan Aku ini dekat..."

(al-Baqarah, 186)

      Tetapi, pernah dikau bertanya tentang-Nya? Namun, Allah SWT tetap duduk dekat denganmu. Mengapa? Kerana Allah SWT menjaga dirimu dan memberimu makan. Cinta-Nya tidak terhenti di situ sahaja. Dia berpesan pula,


"...Pohonlah kepada-Ku, nescaya Aku kabulkan..."

(al-Mukmin, 60)

      Namun selepas memperoleh apa yang dikau pinta, apa yang dikau lakukan? Tahukah dikau bahawa setiap kali dikau bersolat, Allah SWT merenungmu, lalu memberitahu dengan bangga kepada para malaikat, "Lihat hamba-Ku sedang menyembah-Ku. Aku cinta dan sayang kepadanya dan Aku ampunkan dosanya." Sedangkan solatmu itu pun kerana terpaksa. Semasa sujud, dikau pejamkan mata, tetapi tahukah dikau pada saat itulah Allah SWT menumpukan pandangan-Nya kepadamu dengan penuh rasa cinta? Dikau tidak pernah peduli semua kasih sayang daripada-Nya, walaupun Dia sudah berjanji,

"...andai kamu bersyukur, Aku akan tambahkan lagi..."

(Ibrahim, 7)

      Tetapi dikau tidak juga bersyukur. Namun, oleh kerana kasih-Nya yang mendalam, Dia tetap menambahkan kurniaan-Nya buatmu. Dia hanya memberikan satu dosa andai dikau berbuat jahat. Sebaliknya, andai dikau baru sahaja berniat untuk berbuat baik, Dia sudah memberimu satu pahala. Lalu, andai dikau melaksanakan kebaikan itu, akan ditambahkan lagi untukmu 700 pahala.


Alhamdulillah...

Dia berikan dikau kehidupan. Diberi-Nya lagi cahaya, angin, udara, makanan, pakaian, pasangan dan keluarga. Semuanya adalah percuma. Allah SWT sekadar menyuruhmu bertaubat sahaja. Tetapi dikau masih angkuh. Sehinggalah saat menjelang kematiaan, selagi nyawa belum sampai di kerongkong, Dia masih lagi bersedia untuk mengampunkan dosamu, walaupun sepanjang hidupmu berbuat dosa. Mengapa? Kerana Dia tidak mahu dikau merasakan kesakitan dalam neraka. Dia mahukan dikau bahagia di syurga.
ALLAHU AKBAR!


"Ya Allah... Begitu agungnya cinta daripada-Mu."

Temanku. Demikianlah hakikat cinta agung daripada pencinta terulung. Allah SWT, tuhan yang merajai langit dan bumi serta sengenap semesta. Dia-lah yang mengasihimu mesti dikau langsung tidak pernah menghargai-Nya. Andai demikian hebat dan agungnya cinta daripada-Nya, apakah tiada ruang dalam hatimu untuk dikau semadikan cinta daripada-Nya itu? Jujur...
Tanyakan pada hatimu, siapa DIA di hatimu?


Credit: Ibnu Rijal.

 
  
By: An-Nisaa'
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan