Sabtu, 22 Februari 2014

Awalludin Makrifatullah (Awal agama ialah mengenal Allah SWT)



Bismillah. Assalamualaikum ya akhi wa ukhti. Allahumma solli ala Saidina Muhammad :)




Maha suci Allah tuhan sekelian alam. Segala puji bagi-Nya atas segenap limpah kurnia yang tidak terhitung banyaknya. Tahukah dikau siapakah tuhanmu itu? Allah, nama yang meniti di bibir para muslim, nama yang menyala-nyala di hati seluruh manusia dan makhluk semesta. Namun, berapa ramai di antara kita yang mengenali Allah SWT dengan sebenar-benarnya? Bila kita ditimpa kesusahan, kita akan menyeru Allah... bila kita sakit, kita mengeluh Allah... Allah... bila kita dizalimi, kita menjerit Allah... Allah... tetapi, adakah kewujudan Allah SWT hanya untuk itu? Adakah peranan kita sebagai hamba hanya mengingati Allah SWT ketika kita dilanda musibah dan marabahaya?

Berapa ramai di antara kita yang benar-benar mengenali Allah SWT seperti para ahlullah dan para arifbillah? Berapa ramai di antara kita yang takut pada Allah SWT seperti para fakirlillah? Berapa ramai yang tinggi cintanya kepada Allah SWT seperti Rabiatul Adawiyyah? Berapa ramai yang patuh pada Allah SWT seperti para abidbillah? Hakikat itu perlu kita semat kukuh di dalam hati. Adakah kita ini sudah benar-benar mengenali Allah SWT?

Awal-awal agama itu adalah dengan mengenal Allah SWT. Itulah resipi kejayaan duniawi dan ukhrawi. Namun, pada hari ini kita tersalah memberi keutamaan. Kita mengutamakan hukum daripada hakim, itulah yang menyebabkan kita terperosok jauh ke dalam lembah zalim. Begitulah dunia yang kita layarkan pada hari ini. Si anak kecil, seawal usia enam tahun disuruh bersolat betul. Si kecil, seawal usia sembilan tahun diajar doa Qunut dan witir. Salahkah cara ini? Sudah tentu tidak. Namun, harus juga dinilai kepada keutamaan pada waktu itu. Ya, memang mereka perlu bersolat, tetapi untuk siapa mereka bersolat? Siapa yang sedang mereka sembah? Perkara itu yang harus ditekankan sedari awal kepada tiap-tiap anak Muslim. Awalludin makrifatullah. Bukankah lebih sesuai jika anda memperkenalkan anak-anak itu kepada tuhannya terlebih dahulu. Itu yang bakal melahirkan rasa cinta yang tinggi buat Tuhan Yang Maha Esa. Kesannya, setiap ibadah yang disyariatkan tidak rasa terbeban untuk dilakukan kerana asasnya sudah ditanam dengan makrifah (pengetahuan) kepada tuhan.

Daku berikan kepadamu suatu analogi. Dikau diterima bekerja sebagai pembantu kepada seorang hartawan besar. Lalu, sedari awal dikau sibuk mengambil tahu apakah kerjamu, pukul berapa dikau harus bangun meyiapkan keperluan majikanmu itu, dengan siapa harus dikau aturkan temu janji majikanmu itu dan ke mana lokasi projek yang harus dikau bawa beliau lawati. Namun yang demikian, sedikit pun dikau tidak pernah mempedulikan siapa majikanmu itu, apakah sifat peribadinya, bagaimanakah perwatakannya dan apakah kegemarannya. Semuanya dikau abaikan. Bagimu, apa yang penting ialah pekerjaanmu diselesaikan. Dikau fikir, dengan bersifat demikian adakah dikau akan melakukan kerja dengan penuh keikhlasan?

Andai suatu masa, majikan terlupa atau terlewat memberi bayaran, apa yang bakal dikau lakukan? Sebaliknya, jika dikau mengenali hati budi majikan itu, lalu dia sayang kepadamu, dikau mengambil tahu kebajikannya, apakah kegemarannya, dengan siapa dia suka bertemu, di mana tempat dia suka berkunjung, mengambil berat mengenai tahap kesihatannya serta pelbagai lagi hal-hal lain. Sekarang dikau fikir, jika begitu keadaanmu, bagaimana hubunganmu dengannya? Bagaimana dikau menjalankan kerja? Adakah kerana tanggungjawab atau kerana cinta? Dan soalan yang paling menarik, andai suatu masa, majikan itu terlupa memberi bayaran, apakah yang akan dikau lakukan? Dikau ada jawapannya bukan?

Begitu juga hubungan kita dengan Allah SWT. Kita bukan pekerja Allah SWT, sebaliknya kita adalah hamba kepada Allah SWT. Kita bukan memilih amalan dan fadilat mana yang lebih besar untuk kita amalkan. Sebaliknya, kita memilih apa yang diperintahkan, itu yang kita laksanakan. Mudah bukan? Hati, apabila sudah mengenal tuhannya, ia melaksanakan ibadah bukan kerana kelebihan dunia, bukan kerana syurga dan bukan kerana pahala. Sebaliknya, ibadah dilaksanakan kerana cinta yang menggunung buat Tuhan Yang Esa. Andai dikau mendambakan syurga, dikau akan mengungkit apabila tidak berjaya memasukinya. Andai dikau mengimpikan pahala, dikau akan berputus asa apabila tidak memperolehnya. Oleh kerana itu, ikhlaskan dirimu sebagai hamba yang merdeka kepada Tuhan Yang Maha Kaya. Laksanakan ibadah dengan sepenuh hatimu, kerana siapa DIA di hatimu? Allah SWT bukan majikanmu sebaliknya Allah SWT adalah tuhanmu!

Apa beza tuan dan tuhan? Tuan, andai pekerja tidak bekerja untuknya, dia bakal rugi, andai kerja ditunaikan, majikan beroleh keuntungan, andai kerja diabaikan, majikan menanggung kerugian. Bayaran diberi berdasarkan keringat yang dicurahkan. Andai ada lebihan masa kerja, adalah lebihan pendapatannya. Andai tersalah melakukan kerja, pasti akan dibuangnya. Tetapi tuhan tidak begitu! Allah SWT tidak sedikit pun akan rugi andai seluruh manusia timur dan barat, penduduk langit dan bumi, jin dan para malaikat, bergabung untuk menderhakai Allah SWT. Kuasa Allah SWT sedikit pun tidak berkurang. Andai semuanya bersatu untuk taat kepada Allah SWT pula, kuasa Allah SWT sedikit pun tidak bertambah. Mengapa? Ini kerana amalan itu dilakukan untuk diri sendiri dan bukan untuk keuntungan Rabbi.

Andai dikau taat, ganjaran menanti. Andai dikau ingkar, balasan azab rasakanlah nanti. Namun, Allah SWT itu Maha Mengampuni. Andai sekali dikau tersesat jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Tuhanmu itu tidak pernah benci kepada hamba-Nya yang melakukan dosa, asalkan mereka mahu kembali bertaubat.


Oleh: Ibnu Rijal.



By: An-Nisaa'


Tiada ulasan:

Catat Ulasan