Khamis, 19 Disember 2013

Amalan Sedekah






"Janganlah kamu takut kepada kemiskinan karena membelanjakan harta di jalan Allah"
(Al-Baqarah 2:245) 

Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara. 

Harta tidak baik yang digunakan di jalan Allah dan harta baik yang digunakan di jalan syaitan, keduanya tidak bernilai sedekah di mata Allah. Sedekah harus memenuhi dua kriteria, iaitu harta baik yang disalurkan di jalan Allah. Itulah harta yang tidak sia-sia, kerana Allah akan memberikan ganti secara berlipat ganda.

Janji Allah tidak pernah dusta. Kewajiban orang beriman adalah meyakininya dengan segenap hati. Rasulullah sendiri pernah menginformasikan, “Tiada sehari pun sekalian hamba memasuki suatu pagi, kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang menafkahkan hartanya’. Sementara yang lain berkata, ‘Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya’.” [HR Bukhari dan Muslim]. 

Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah, bukan disebabkan balasan nama atau sekadar bersedekah saja.

Supaya bersedekah tidak menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’. Beberapa perkara perlu diambil perhatian dan tindakan demi kesempurnaan bersedekah.

“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan amalan bersedekah walaupun hanya separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka. Hebat bukan?

KEKAYAAN tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta dan rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak serta mencukupi. Sebaliknya, tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam satu kisah, diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan pada lengannya. Baginda menepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman: “Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya? Nabi Ayub menjawab, “Ya benar; demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatan-Mu”. 

Kisah ini menegaskan pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan Allah. Cara mendapatkan keberkatan daripada Allah, antaranya:


1) Bersyukur atas apa yang diberikan Allah.

2) Belanjakan harta pada jalan diredhai Allah

3) Berusaha cari rezeki halal

4) Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan beri sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5) Bersedekah kepada anak yatim, miskin, jika boleh setiap hari. (Cari anak yatim untuk diberikan) kerana dengan izin Allah akan diganti tanpa kita sedari. 

Jika dapat diamalkan, rezeki yang dikurniakan Allah akan kekal walaupun sudah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang sudah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi daripada sumber yang kita tidak ketahui.

Bersedekah itu boleh dilakukan oleh semua orang sekalipun orang itu tidak berharta. Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana bersedekah adalah lambang kesyukuran kepada Allah, pelaksanaan perintah Allah dan mempererat hubungan persaudaraan serta silaturahim sesama Muslim.

Sedekah juga adalah cara mengukuhkan hubungan antara hamba dengan Allah dan di antara hamba sesama hamba. 

Firman Allah: “Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepadamu, sebelum datang hari yang tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab dan tiada lagi syafaat padanya. Dan orang yang kafir itu adalah golongan zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 254)

Penulis: @FitriNabihah
Rujukan: Buku Ajaibnya Sedekah (Muhammad Muhyidin)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan