Rabu, 8 Januari 2014

NABI NUH A.S : Nabi Nuh dan bahteranya.



NABI NUH A.S : Nabi Nuh dan bahteranya.

Mukadimah :
     Nabi Nuh adalah nabi yang keempat sesudah Nabi Adam a.s selepas Nabi Syith dan Nabi Idris dan keturunan kesembilan dari Nabi Adam a.s. Ayahnya ialah Lamik bin Metushalih bin Idris. Dia diutus kepada kaumnya yang sudah berpaling menyembah patung-patung,berbuat kezaliman dan kekufuran.

Selama 950 tahun Nabi Nuh berdakwah namun hanya sedikit sahaja yang mahu beriman. Mereka terlalu kuat berpegang kepada penyembahan patung-patung. Bahkan seorang ayah telah siap berwasiat kepada anaknya supaya jangan mengikut nabi Nuh sepanjang hidupnya.

Akhirnya Allah datangkan perintah membuat bahtera sebagai peringatan akan berlakunya banjir besar. Orang yang ingkar hanyut ditenggelami air dan tinggallah Nabi Nuh dan orang-orang beriman memulakan kehidupan.

Berdakwah Kepada Kaumnya:
       Nabi Nuh pun pergi menemui kaumnya dan berkata kepada mereka: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku menasihati kamu semata-mata kerana Allah. Aku tidak menuntut apa-apa bayaran dari kamu atas nasihat ini." 
  
Sebahagian daripada kaumnya berkata: "Demi Allah, kata-katanya itu boleh dipercayai. Patung-patung ini tidak boleh bercakap dan bergerak,bagaimana ia boleh menjadi tuhan? Tuhan tidak boleh terjadi dari batu!"

Namun kebanyakan dari mereka menentang. "Tidak..! Tidak..! Inilah tuhan kita. Janganlah sekali-sekali kita meninggalkannya." Kata mereka menentang ajakan Nabi Nuh a.s.

"Siapakah Nuh itu hingga kita mesti dengar kata-katanya? Dia itu seorang gila dan fakir. Orang yang tidak ada nilai. Kita tidak akan sekali-kali mendengar kata-katanya." Kata orang-orang kaya dan orang-orang besar dengan angkuhnya.

Menyampaikan Ancaman Allah :
        Nabi Nuh tidak berputus asa, dia tidak berhenti-henti mengunjungi mereka dari sehari ke sehari. Nabi Nuh terus menasihati mereka, dan mahu memimpin mereka kepada jalan yang benar.

Suatu hari Nabi Nuh pergi menemui kaumnya. "Wahai kaumku! Aku takut kamu ditimpa seksa pada hari yang sangat dahsyat. Dengarlah dan patuhlah sebelum kemurkaan dan seksaan Allah menimpa kamu." Seru Nabi Nuh dengan kasih sayang. Namun kaumnya menutup telinga tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh itu.

Perintah Membuat Bahtera :
     Allah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat sebuah kapal yang sangat besar. Kemudian tunggu sehingga datang perintah dari Allah memberitahu apa yang hendak dibuat dengan kapal itu. Oleh kerana Nabi Nuh tidak tahu bagaimana hendak membuat kapal, maka Allah mengajarkannya cara-cara membuat kapal. Wallahualam

Setelah itu Nabi Nuh pergi ke hutan menebang pokok. Kemudian batang-batang pokok itu dijadikan berkeping-keping. Sesudah itu dia terus membersihkannya, memotongnya dan menyusunnya.

Nabi Nuh a.s memilih tempat yang jauh dari kota dan kaumnya yang ingkar itu. Supaya dia dapat bekerja dengan tenang tanpa gangguan dari mereka. Namun begitu kaumnya tetap mengganggunya.

Muatan Bahtera Nabi Nuh :
        Setelah selesai membuat kapal, Nabi Nuh diarahkan supaya mengisi kapal itu dengan semua jenis haiwan, termasuk burung, serangga dan lain-lain. Kesemua haiwan yang menumpang didalam kapal Nabi Nuh akan dipilih, cuma sepasang bagi setiap jenis.

        Nabi Nuh juga menyimpan didalam kapal itu bekalan makanan dan minuman yang cukup untuk semua penumpang kapal tersebut. Selain itu beliau juga mengambil hidupan lain seperti benih dan anak pokok yang tumbuh diatas bumi.

        Setelah semuanya berada dalam kapal, barulah Nabi Nuh serta orang-orang yang beriman memasuki kapal itu. Kemudian mereka menutup semua pintu dan tingkap kapal itu.
Berlaku Banjir Besar :
         Ketika itu bertiuplah angin yang sangat kencang. Kilat sabung-menyabung. Petir dan guruh sahut-menyahut bagaikan dunia ini bakal hancur meledak bila-bila masa sahaja. Kemudian turunlah hujan yang sangat lebat dari langit. Diikuti pula dengan air yang keluar memancut-mancut dari dalam permukaan bumi.

         Kapal Nabi Nuh kini terapung-apung diatas permukaan air. Kemudian air bah mula menenggelamkan pokok-pokok serta rumah orang-orang yang menyembah berhala. Orang-orang yang tidak beriman bertempiaran lari ke bukit-bukit dan tempat yang tinggi untuk menyelamatkan diri dari banjir besar itu.
         
        Di sana sini terdengar jeritan yang mengerikan dari kaum yang kufur itu. Mayat-mayat hanyut terapung dibawa arus deras. Anak dan isteri Nabi Nuh yang ingkar turut tenggelam dibawa arus. Dari atas geladak kapalnya, Nabi Nuh menyaksikan kejadian yang menimpa kaumnya itu dengan perasaan hiba.

Bahtera Mendarat Dengan Selamat :
        Banjir besar terus melanda seluruh bumi. Tiada tanah yang tidak ditenggelami air walaupun gunungnya tinggi. Semua hidupan musnah melainkan 40 pasangan pengikut Nabi Nuh dan pasangan segala tumbuhan dan haiwan yang dibawa menaiki kapal Nabi Nuh. Setelah semua manusia yang ingkar dan mungkar lenyap daripada muka bumi Allah pun memerintahkan langit menghentikan hujannya dan mengarahkan bumi menelan semula airnya.

         Kapal Nabi Nuh berlabuh diatas bukit bernama 'Al Judi'. Iaitu pada 10 Muharram, setelah enam bulan berlayar.

         Setelah Nabi Nuh pasti bahawa bumi telah kembali kering, barulah beliau membuka pintu kapal. Haiwan-haiwan yang berada dalam kapal keluar satu per satu. Pada mulanya dilepaskan haiwan liar. Kemudian disusuli dengan haiwan jinak. Akhir sekali barulah Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman bersamanya turun dari kapal itu. Mereka memulakan kehidupan baru disitu dengan aman.

Credit by Irfan Hakim..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan