Nabi Salleh a.s:Unta Nabi Soleh.
Tajuk : Nabi Salleh a.s:Unta Nabi Soleh.
#Mukadimah
Nabi Soleh diutuskan kepada kaum Tsamud. Baginda menyeru mengajak kaum Tsamud beriman dan menyembah Allah. Kaumnya degil dan ingkar, mereka meminta ditunjukkan mukjizat. Setelah diperlihatkan oleh Allah mukjizat dengan kedatangan unta betina yang sihat mereka cuba pula membunuhnya. Allah murka dengan sikap dan tindakan mereka, lalu Allah turunkan bala yang memusnahkan mereka.
#Kaum Nabi Soleh(Kaum Tsamud)
Kaum Tsamud tinggal di utara Tanah Arab yang bernama Hijr. Hijr terletak diantara Madinah dan Syam. Tempat tinggal kaum Tsamud terdapat sebuah wadi yang sentiasa dipenuhi air. Tanah-tanah disini sangat subur. Taman-tamannya dipenuhi dengan bunga yang bermacam-macam, sekali pandang seakan akan syurga. Ladangnya yang subur menghasilkan buah-buahan dan sayurannyang segar dan banyak sekali.
Berhampiran wadi tersebut, kaum Tsamud membina istana dan mereka memahat bukit batu yang mengelilingi mereka untuk dijadikan tempat kediaman mereka yang sangat kukuh. Setiap dinding, bumbung serta lantainya adalah dari batu yang pejal yang tidak mudah hancur dan runtuh.
#Kaum Tsamud Mula Lalai
Mereka hidup dalam keadaan aman damai. Setelah agak lama menikmati kesenangan dan ketenangan begitu, mereka mula lupa dan lalai. Mereka lupa kepada Allah yang mengurniakan semua nikmat itu. Mereka telah mengukir batu untuk dijadikan berhala dan mereka menyembahnya. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada kehidupan Akhirat, tidak percaya lagi kepada dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Mereka muka membuat pelbagai kerosakan dan kesesatan dibumi ini.
Allah yang maha pengasih mengutuskan kepada mereka seorang nabi dari kalangan mereka yang bernama Salleh. Nabi Salleh adalah seorang yang baik dan cerdik. Semua orang mengenali dan menyukainya.
#Nabi Soleh Berdakwah Kepada Kaum Tsamud.
Nabi Salleh mengajak kaum Tsamud menyembah Allah yang maha esa dan meninggalkan menyembah tuhan-tuhan palsu yang dijadikan daripada batu itu. "Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu akan Allah, tiada tuhan selain-Nya. Ingat! Dia-lah yang menjadikan kamu bangsa yang kuat bangsa yang kuat dan bertamadun selepas kaum Aad dan menempatkan kamu dibumi ini. Kamu mendirikan mahligai-mahligai dilembahnya dan kamu pahat bukitnya menjadi rumah. Sebab itulah ingatlah akan nikmat Allah dan janganlah kamu berbuat kebinasaan dimuka bumi ini."Kata Nabi Salleh suatu hari dalam pertemuan dengan kaumnya ditanah lapang. Sebahagian dari kaumnya telah beriman apabila mendengar kata-kata Nabi Salleh itu. Mereka terdiri dari orang-orang yang miskin yang baik-baik manakala para pembesar dan orang-orang kaya amat sombong dan bongkak menolak seruan Nabi Salleh itu.
#Menunggu Unta Mukjizat
Nabi Salleh tidak berputus asa, terus menyeru kaumnya dan memberi nasihat kepada mereka. Sebahagian kaumnya yang ingkar meminta ditunjukkan mukjizat untuk meyakinkan mereka kononnya.
Nabi Salleh berdoa kepada Allah,supaya dikurniakan kepadanya mukjizat untuk membuktikan kebenarannya kepada kaumnya yang degil dan ingkar. Allah memberitahu akan muncul mukjizat itu iaitu berupa seekor unta yang sangat besar yang tidak pernah dilihat oleh mereka sebelum ini. Unta tersebut sentiasa mengeluarkan susu yang tidak akan habis. Allah memberi syarat kepada mereka supaya membiarkan unta itu minum air dari perigi satu hati yang lain.
Orang beriman gembira mendengar berita dan tak sabar hendak melihat mukjizat Nabi Salleh itu. Sebaliknya mereka yang ingkar mengejek Nabi Salleh dan mempersendakannya. Pada hari tersebut, semua mereka keluar ke bukit itu berdiri menunggu mukjizat yang telah dijanjikan.
#Unta Muncul Dari Celah Batu.
Sedang mereka bercakap sesama mereka, tiba-tiba keluar seekor unta yang besar dihadapan mereka sambil mengeluarkan bunyi yang kuat. Unta tersebut berjalan dihadapan mereka dengan langkah yang panjang. Mereka memandang unta tersebut dengan penuh hairan dan pelik. Kemudian unta itu berjalan menuju ke tempat air yang diminum oleh Kaum Nabi Salleh. Unta itu tidak mengangkat kepalanya hinggalah selesai minum titisan air yang terakhir darinya.
Ketika itu ramai orang yang berada disitu bersorak "Benar Salleh! Benar Salleh! Dia adalah utusan dari Allah dan ini adalah unta Allah" Sebaliknya orang kafir yang sombong berasa amat marah dan tidak bercakap walau sepatah perkataan. Muka mereka pucat kebiruan kerana sedih dan sakit hati. Mereka pulang membawa diri dengan hati yang geram.
#Pakatan Jahat
Hiduplah unta yang ajaib itu bersama Nabi Salleh. Nabi Salleh berasa gembira dan berkata kepada mereka "Unta ini adalah tanda dari Allah. Biarkanlah ia makan dari bumi ini. Jangan sekali-kali kamu menyakitinya, nanti kamu akan ditimpa azab yang pedih.
Dikota Hijr itu terdapat sembilan orang yang suka membuat kejahatan, mereka melakukan kerja-kerja hina, membuat kerosakan di muka bumi, meminum arak dan tidak beriman kepada Allah.
Pada suatu malam, mereka berkumpul dan bersuka ria. Mereka berbincang untuk membunuh unta itu dan Nabi Salleh kerana menggangapnya menyusahkan mereka mengambil minuman serta menyekat kesenangan mereka. Mereka merancang untuk membunuhnya pada waktu malam yang gelap.
#Balasan Kaum yang Ingkar
Sebelum fajar menyinsing, salah seorang dari mereka pergi ke tempat unta dan melontarnya dengan tombak. Berteriaklah unta itu dengan teriakan yang kuat hingga didengar oleh Nabi Salleh. Nabi Salleh pergi ke tempat unta itu bersama dengan orang-orang lain yang mendengar pekikan unta itu. Maka bertempiaranlah sembilan orang pengkhianat itu melarikan diri.
Nabi Salleh mendapati untanya telah dibunuh. Beliau sangat dukacita dan beliau tahu bahawa Allah akan menyeksa kaum Tsamud kerana perbuatan mereka itu. Nabi Salleh memberitahu kaumnya Allah telah murka dan selepas tiga hari Allah akan menurunkan bala. Nabi Salleh dan orang beriman meninggalkan tempat itu.
Setelah berlalu tiga hari yang ditetapkan, mereka mendengar tempikan yang sangat kuat yang amat mengejutkan serta menakutkan. Mereka menggigil ketakutan sehingga seperti terpotong-potong jantung mereka serta jatuh kerana terlalu terkejut dan takut. Mereka terbongkok ke lutut mereka kerana terlalu sakit dan mati dalam keadaan demikian. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan