Sabtu, 4 Januari 2014

Kekasih Nabi Penggenggam Bara

     
Pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyatakan kerinduannya terhadap kekasih kekasih Baginda SAW. Lantas ditanya oleh para sahabat: "bukankah kami ini kekasihmu wahai Rasulullah?" Baginda SAW lantas menyatakan: "Tidak. Bahkan kalian sahabatku. Kekasihku ialah sekelompok manusia yg lahir pada akhir zaman. Mereka itu menggenggam agama mereka umpama mereka menggenggam bara".
 

Siapakah golongan yang istimewa ini? Golongan yang sahabat berasa iri hati kerana kerinduan Baginda SAW terhadap mereka? Ya, mereka itulah golongan yang dikatakan oleh Baginda SAW sebagai segolongan daripada ummatnya yang bukan sezaman dengan Baginda SAW yang bukan bertemu dengan Baginda SAW dan bukan juga yang berperang dengan Baginda SAW. Sebaliknya mereka adalah golongan yang datang pada akhir zaman. Wahhhh! Mengapakah mereka ini amat dirindui oleh Baginda SAW? Ya... kerana mereka ini sanggup menggenggam bara walaupun ia panas membakar. Mereka sanggup menggenggam walaupun tangan mereka terbakar hangus. Mereka sanggup menggenggam bara walau ia menyakitkan dan mencederakan.
Mengapakah Diumpamakan Mereka Seperti Menggenggam Bara Api?

     Baginda SAW telah pun menyatakan bahawa mereka ini adalah mereka yang datang, dan hidup pada akhir zaman. Iaitu zaman yang tersangat sedikit perkara perkara kebaikan. Akan tetapi ia adalah zaman yang tersangat banyak dan tersangat mudahnya berlaku kejahatan dan kezaliman.
     Tiada yang tinggal melainkan Islam yang hanyalah pada nama, Al Quran melainkan hanya pada mashafnya. Di kala iman manusia mulai lemah, kekuasaan berpecah belah. Musuh melawan dari depan dan belakang yang sentiasa bekerja keras untuk melawan Islam secara terang mahupun jelas semata mata untuk menjatuhkan Islam dan ummatnya.
      Walaupun demikian, mereka ini tetap berpegang teguh dengan agama. Mereka tetap berjalan di atas sunah Baginda SAW walau dalam kepayahan dan keperitan. Ini kerana masyarakat dan orang sekeliling yang sangat jauh daripada amalan Islamnya dan memandang agama dengan pandangan yang janggal dan pelik. Suatu zaman yang fitnah menyesatkan berleluasa. Pada suatu zaman yang berlakunya fitnah dan subahat terhadap agama. Pada suatu zaman yang berleluasanya nafsu dan syahwat terhadap dunia. Pada suatu zaman yang imannya amat teruji.
       Akan tetapi, mereka ini termasuk dalam golongan yang tetap berhadapan dengan kepayahan, kesulitan dan keperitan itu dengan hati dan jiwa yang kental. Tidak gentar dengan ancaman dunia. Tidak tertipu dengan janji janji manis dunia yang sementara. Mereka inilah yang diumpamakan seperti menggenggam agama seperti menggenggam bara api.
Menjadi Ummat Yang Kuat.
       Maka bagaimanakah cara untuk menjadi ummat yang kuat untuk menggenggam bara api ini? Ummat yang mempunyai jatidiri dan kuat peribadi? Pada saya, kekuatan itu terpasak pada dua perkara yang penting dan utama iaitu:
  1. Mempunyai Tasawwur dan Pandangan yg Jelas Tentang Islam.
  • untuk mendapat tasawwur serta pandangan yang jelas ini kita perlulah mengisinya dengan ilmu ilmu Islam yang betul dan benar benar menepati Al Quran dan Sunah. Ilmu yang berdasarkan kepada ayat Al Quran dan hadith yang diterima. Bukan yang semata mata berpaksikan pemikiran logik akal. Kita juga perlu kenal apakah itu ajaran ajaran yang bertentangan dengan Islam agar kita tidak tergelincir tatkala kita mencari ilmu. 
  • pada saat dan ketika ini, pada pandangan saya, kita sangat perlu mengenali apakah itu ajaran Syiah, apakah liberal dan Islam liberal. Dua arus pemikiran ini sangat berleluasa di negara kita dan sangat mengancam ummat Islam di Malaysia khususnya.
   2.    Mempunyai Keimanan dan Keyakinan yang Tinggi Terhadap Agama.
  •   iman adalah hati dan jantung kepada kehidupan seorang Muslim. Iman yang sejahtera akan membuatkan seorang Muslim itu taat kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya. Yakin kepada janji Allah melangkaui yakinnya kepada janji manusia.Yakin bahawa Allah akan mengurniakan syurga-NYA buat yang mentaati-NYA dan menjanjikan azab neraka-NYA buat yang mengingkari. Maka ia akan melakukan suruhan sama ada suka ataupun tidak. Sama ada mendapat ganjaran dunia atupun dicerca. Baginya redha Allah paling utama. Kebahagiaan akhirat adalah cita cita.
  • maka marilah kita menjadi ummat Nabi yang sentiasa menghidupkan hati dengan iman dan menyuburkan akal dengan ilmu.
NOTA KAKI! 
  1. 3 ASAS TAAT
  • Takut- tandanya adalah meninggalkan segala yang haram
  • Harap- tandanya seseorang itu rajin melakukan ketaatan kepada Allah
  • Cinta- tandanya, dia rindu dan khusyuk kepada-NYA  













                                                                                                                                        SeorangUkhty~

                                                                                                                                       
                                                                                                                    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan